Wednesday, September 24, 2008

Buang yang keruh ambil yang jernih

Negara kita adalah sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat melalui proses kemerdekaan yang sempurna tanpa menitiskan setitik darah sekalipun. Dengan kebijaksanaan pemimpin kita pada masa itu, yang diketua oleh Tungku Abdul Rahman, seluruh rakyat merasa lega dan gembira apabila beliau mengumumkan kejayaan proses perbincangan dan juga tarikh kemerdekaan Malaya telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Kesabaran, ketenganan, kewarasan, kebijaksanaan serta sokongan rakyat jelata merupakan kunci kejayaan mereka pada waktu itu. Tidak pernah ada kata-kata ugutan atau tipu muslihat disampaikan kepada rakyat untuk tujuan mendapatkan kemerdekaan. Apa yang diperkatakan, hanyalah kejujuran dan keikhlasan pemimpin kita pada waktu itu untuk mendapatkan kemerdekaan serta mengembalikan kuasa dak hak kepada Raja-Raja Melayu dan seluruh rakyat jelata.

Tanpa dipaksa, seluruh rakyat menyumbangkan apa saja harta yang termampu bagi membantu membiayai kos perjalanan Bapa Kemerdekaan kita serta rombongan. rakyat tidak perlu ditipu atau dirayu untuk memberi sumbangan tetapi kejujuran dan keikhlasan bekerja yang telah ditunjukkan oleh pemimpin kita pada waktu itu telah menjadikan rakyat berasa bertanggungjawab untuk memberi sumbangan dalam mencaapai kemerdekaan yang diingini.
Pada masa itu, tidak ada berlaku perebutan untuk memimpin mana-mana kumpulan politik baik diperingkat tertinggi maupun peringkat cawangan malah ada diantara mereke menolak apabila diminta menjadi Ketua diperingkat Cawangan, bahagian ataupun Pusat. Alasannya ialah mereka takut tidak dapat melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan sempurna.

Begitulah serba sedikit tentang senario kepimpinan pada masa itu. Namun kini, semuanya terbalik. Beberapa individu tertentu sanggup melakukan apa saja bagi meraih sokongan dan kuasa yang dihajati kerana apabila berkuasa, habuan besar pasti menunggu untuk dijadikan santapan. Rasuah, peras ugut, fitnah malah membunuh juga tidak asing lagi dalam permainan politik kita sekarang. Akibatnya, kita boleh saksikan sendiri pada hari ini. Beberapa gergasi politik dinegara kita kini mengalami krisi kepimpinan yang buruk hingga menjejaskan kepimpinan dan pentadbiran negara. Peluang ini tidak dilepaskan begitu sahaja oleh beberapa kumpulan oportunis yang sudah lama menunggu saat ini. Segala kelemahan parti-parti politik tersebut telah dijadikan bahan untuk mendapatkan sokongan dan populariti dan ramai rakyat terpedaya oleh mereka.

Kini, negara kita sedang mengharungi kegawatan kepimpinan yang agak membimbangkan kita semua. Kita harap, semua pemimpin yang bersengketa dapat duduk semeja dan berbincang bagi mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dan selesaikanlah dengan cara yang terbaik. Jangan sampai kemakmuran dan kesejahteraan kita selama ini menjadi korban semata-mata kerana rasa ego dan angkuh kita akan jawatan yang dipegang. Kembalilah kepada asas yang menjadi kekuatan kita sejak dari zaman Tunku hingga sekarang. Berilah perhatian terhadap segala teguran, pandangan dan kritikan pihak lawan kita. Cuba atasi setiap masalah dengan bijak dan penuh tanggungjawab. Jangan cuba jadikan pihak ketiga sebagai kambing hitam. Semoga negara kita akan kembali kelandasan yang telah dirancangkan. Jangan biarkan pihak lawan mengambil kesempatan terhadap kelalaian kita. Segala persengketaan hendaklah di tamatkan. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

No comments: