SIBU, 15 Mac (Bernama) -- Bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Ai, Malcolm Mussem Lamoh berharap dapat memperkenalkan lebih banyak aktiviti pertanian komersial di kawasan pedalaman ini yang majoriti penduduknya kaum Iban.
"Saya mahu melihat sektor pertanian komersial secara serius agar masyarakat berusaha ke arah menjadi petani komersial.
"Mungkin ada beberapa projek yang boleh dinaik taraf kepada berskala komersial untuk pasaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika ditanya mengenai rancangannya untuk membantu penduduk di kawasan berkenaan.
Mussem, 49, bekas jurutera Jabatan Pertanian Negeri, memiliki kelulusan Sarjana dalam Kejuruteraan Sistem Pengeluaran dari Warwick university, England dan Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Beliau berkata kekurangan pengetahuan yang berkaitan menghalang petani beralih daripada pertanian sara diri.
"Dengan keadaan ekonomi semasa, saya percaya ada peluang untuk kita merancang sesuatu yang membawa manfaat, lebih-lebih lagi di sekitar kawasan hidro Batang Ai.
"Sektor perikanan dan agro-pelancongan adalah bidang yang memberikan pulangan jika diteroka selanjutnya, dengan tujuan memajukannya sebagai perniagaan penting yang lebih tersusun.
"Saya telah pun berkhidmat, mungkin selama lebih 25 tahun dalam perkhidmatan awam, jadi saya tahu benar bagaimana untuk berkhidmat kepada masyarakat di sini," katanya.
Sementara itu, Mussem berkata beliau bangga kerana dipilih sebagai calon BN/Parti Rakyat Sarawak bagi mempertahankan kerusi berkenaan, sambil menambah wakil rakyat Batang Ai sebelum ini, mendiang Datuk Dublin Unting, merupakan teman rapatnya.
-- BERNAMA
well, apa komen anda?
1 comment:
terima kasih melawat blog saya, ini saya buat kunjungan balas. teruskan menulis/memblog.
Post a Comment