Wednesday, December 10, 2008

Hikmah ibadah haji

ZULHIJAH bermaksud bulan haji. Pada bulan ini umat Islam menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima. Berbahagialah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada bulan ini.

Banyak kelebihan disediakan untuk mereka yang membelanjakan harta, meninggalkan keluarga dan keselesaan di tanah air semata-mata menyahut seruan Allah menuju ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji.

Justeru, haji dikatakan sebagai puncak pengabdian dan lambang ketauhidan yang paling unggul.

Kelebihan paling utama ibadah haji adalah terhapusnya segala dosa. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah), ketika mengerjakan haji itu dia tidak mencarut dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang, dia terkeluar daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”

Di samping itu, ada kelebihan lain ketika berada di Tanah Suci seperti solat di Masjidil Haram yang ganjarannya 100,000 kali ganda dan solat di Masjid Nabawi pula 10,000 kali.

Bagi umat Islam yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tetap berpeluang untuk menikmati kelebihan Zulhijah.

Allah berfirman maksudnya: “Demi waktu fajar. Demi 10 malam. Demi hari yang genap dan hari yang ganjil...” (Surah al-Fajr, ayat 1-3)

Menurut Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubayr, Mujahid dan ramai dari kalangan mufassirin salaf dan khalaf, 10 malam yang disebut di dalam ayat itu ialah 10 malam pertama Zulhijah.

Pendapat itu diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Amal salih yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan pada hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikit pun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah).”

Hari yang ganjil adalah hari Arafah iaitu hari ke-9. Hari yang genap adalah Hari Nahar (Aidiladha) yang jatuh pada hari ke-10 Zulhijah.

Demikian pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan adh-Dhahhak.

Ayat al-Quran dan hadis di atas menjelaskan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah, khususnya 10 hari pertamanya sehingga dikatakan amalan hamba yang paling Allah suka adalah amalan yang dilakukan pada hari itu.

Apakah amalan yang sebaiknya dilakukan? Terlalu banyak kebaikan yang boleh difikir dan di senaraikan.

Antaranya ialah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi pada hari Arafah (hari ke 9). Dalam hal ini Nabi bersabda maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua, ibadat korban yang disunatkan pada hari ke-10, 11, 12 dan 13.

Korban adalah sunnah muakkadah. Ada ulama yang menyebut sebagai sunnah wajibah bagi mereka yang mampu. Cukup satu korban bagi satu keluarga.

Antara dalil berkaitan dengan korban adalah firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Apa-apa yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali Imranm, ayat 92)

Dalil hadis: “Barang siapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan korban), lalu tidak melakukannya (tidak berkorban), maka janganlah mendekati tempat solatku.” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ummu Salamah, Rasulullah bersabda: "Apabila kalian telah melihat hilal bulan Zulhijah dan ada di antara kalian yang akan berkorban maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya." (Hadis riwayat Muslim)

“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar adalah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka, laksanakanlah korban dengan sepenuh hatimu.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Sahabat bertanya Nabi: “Apa maksud ibadah korban ini?” Baginda menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita peroleh daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Amalan adalah solat sunat, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat.

Yang penting tanamkan azam di dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana juga dan pada bila-bila masa. Apabila tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.

Bukit Antarabangsa..apa nak jadi...???

Negara kita masih lagi hangat tentang isu tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa baru-baru ini, setakat ini jumlah kematian adalah 4 orang, dan seorang lagi mangsa belum lagi ditemui… Aku masih tidak faham apa keuntungan yang Buletin Utama TV3 dapat, bila siarkan berita ni setiap malam(hampir separuh waktu siaran). Walaupun kejadian ni dah masuk hari ke 4… Anyway, bukan kisah TV3 yang aku nak ceritakan. Tapi kisah ragam penduduk sekitar Bukit Antarabangsa, yang dianggarkan seramai 2000 orang yang diminta untuk meninggalkan kediaman masing-masing atas faktor keselamatan.

Mereka ni seolah-seolah seperti anjing yang dilepaskan tuannya, tapi menggigit pula… Maaf ya, mungkin bukan semua. Tapi sebahagian daripada anda cukup melampau! Aku faham dengan masalah korang semua, tapi berpada-padalah… Dalam masa tempoh kritikal macam ni, sepatutnya berilah kerjasama kepada pihak berkuasa. Lagi pun untuk keselamatan anda juga. Jika sudah diminta untuk keluar tu, ikut saje la… Tinggal la di rumah saudara-mara, rakan-rakan, atau jiran-jiran terdekat.

Janganlah pula pergi menginap kat hotel, lepas tu desak kerajaan bayar kos penginapan hotel korang pulak? WTF?! Tak masuk akal…

Selain tu, ada juga dikalangan penduduk yang nak saman PBT dan juga pemaju… Hello, jangan nak menangguk di air keruh… Bila dah jadi macam ni, masing-masing nak ambil kesempatan? Tak perlulah nak salahkan orang lain, kalau dah tau nak jadi macam tu buat pe la korang beli/sewa rumah kat situ? Konon jaga status la? Rumah atas bukit mahal? nak menunjuk banyak duit? Sepatutnya dari dulu lagi korang tak beli/sewa rumah kat atas bukit tu, tidakkah tragedi Highland Tower memberi sebarang pengajaran kepada anda?

Inilah sikap talam dua muka segelintir rakyat Malaysia yang cukup aku meluat dan menyampah! Bila senang kawan, tapi bila susah masing-masing hanya tau jaga punggung sendiri… Apa nak jadi…

Kemenangan bersejarah

RAKYAT Amerika Syarikat dahagakan perubahan dan mereka telah bersuara dengan lantang dan jelas mahukan perubahan ini melalui peti undi dengan memilih calun Presiden dari Parti Demokrat, Barrack Obama menjadi Presiden AS ke 44.

Kemenangan Barack Obama dan kejayaannya mengalahkan calon presiden dari Parti Republikan, John McCain untuk memegang tampuk kuasa di Rumah Putih merupakan satu sejarah kepada AS yang buat pertama kali mempunyai presiden dari warga berkulit hitam.

Barack Obama akan mengangkat sumpah sebagai presiden AS ke 44 pada 20 Januari 2009 dan selaku presiden beliau akan berhadapan dengan cabaran-cabaran yang hebat antaranya krisis ekonomi yang sedang melanda AS, perang Iraq dan sistem perkhidmatan kesihatan yang perlu di perbaiki selain dari mengembalikan reputasi AS di arena antarabangsa yang menurun di bawah pentadbiran Bush.

Kemenangan Obama juga merupakan satu kemenangan besar kepada Parti Demokrat, Dan undi besar yang di berikan rakyat Amerika kepada Obama dan Parti Demokrat mengambarkan kekecewaan mereka terhadap pentadbiran Presiden George W. Bush sepanjang 8 tahun yang lalu.

Mengimbau kembali perjalanan kempennya sepanjang 2 tahun lalu Obama berkata, “Ia satu perjalanan yang jauh. Tapi malam ini, tiba hari nya dalam pilihan raya saat yang bermakna, perubahan sudah tiba bagi Amerika," katanya di hadapan lebih 125,000 penyokongnya.

Beliau turut berterima kasih kepada pasukan kempennya, iaitu isteri, anak dan mendiang neneknya yang meninggal sehari sebelum pembuangan undi, semalam.

Beliau berkata: “Saya tidak pernah bayangkan untuk ke Rumah Putih. Kami tidak bermula dengan banyak wang atau cadangan.

"Kempen kami tidak bermula di Washington, ia bermula di lorong belakang di Des Moines, bilik tetamu atau ruang depan Charleston.”

Sementara itu jika McCain menang beliau akan merupakan presiden tertua pernah berkuasa di Rumah Putih dalam penggal pertama menakala calun naib presiden Sarah Palin pula merupakan naib presiden wanita pertama dalam sejarah AS.

Kemenangan Obama terjamin semalam apabila Ohio, Florida, Virginia, Iowa, New Mexico, Nevada dan Colorado yang telah menyokong Bush dalam pilihanraya 2004 memberikan undi kepada Obama.

Kekalahan McCain menjadi lebih teruk apabila beliau gagal merebut undi di Pennsylvania yang merupakan kubu kuat Parti Demokrat.

Keputusan mutakhir menunjukkan Obama dengan selesa memenangi undi dari lebih 380 undi perwakilan (Electoral College) walaupun beliau hanya perlu 270 undi. Dalam undi popular pula atau undi majoriti dari rakyat Amerika beliau mendahului McCain dengan 51 peratus atau lebih 5 juta undi berbanding McCain yang hanya mendapat 48 peratus undi.

John McCain akur dengan keputusan pilihanraya tersebut dan berkata rakyat Amerika telah bersuara dan sambil mengucapkan tahniah kepada Obama beliau berjanji akan membantu Obama menghadapi cabaran-cabaran yang bakal di hadapinya sebagai presiden nanti.

"Kita sudah samapi ke penghujung perjalanan yang jauh. Warga Amerika telah bersuara dan mereka telah bersuara dengan jelasnya".

Senator Obama telah mencapai kemuncak yang di harapkannya untuk negara ini. Seluruh masyarakat dunia menyanjung tinggi Obama atas kejayaannya. Ini merupakan satu pengajaran yang sangat penting kepada semua ahli politik Malaysia. Segala yang baik kita jadikan tauladan dan apa yang tidak baik kita jadikan sempadan.

Hari Raya Qurban

Diriwayatkan bahawa apabila Syaikh Abdullah Mubarak (seorang waliyUllah besar) pulang dari mengerjakan haji, beliau ditanya tentang apa yang dilihatnya sewaktu menjalani ibadah tersebut. Beliau menjawab : "Aku melihat binatang berkeliaran". Begitu juga saat Imam Ja'faar as-Shadiq berada dalam Masjidil Haram, beliau melihat banyak haiwan di situ. Pernah juga berlaku ketika Kiyai Agung selesai menjalani suluknya, beliau singgah di sebuah masjid untuk bersholat, tiba-tiba dilihatnya masjid tersebut dipenuhi oleh manusia berkepala binatang, macam-macam binatang ada. Istighfar panjang Kiyai Agung, jika beginilah manusia yang sholat, apatah lagi yang tidak bersholat. Inilah pandangan kasyaf para wali, yang apabila tabir diangkat oleh Allah mereka melihat apa yang dikehendaki oleh Allah untuk mereka melihat.

Hujjatul Islam al-Ghazali menyatakan bahawa manusia mempunyai sifat-sifat kebinatangan, sama ada binatang melata maupun binatang buas. Sifat kebinatangan yang menjadi kenderaan paling mudah untuk syaithan kerana ianya sentiasa suka mengikut hawa nafsu semata-mata. Oleh itu, kita disarankan agar sentiasa mujahadah demi membuang sifat-sifat ini dengan menjalankan syariat dengan ikhlas kepada Allah. Jadikanlah syariat Allah sebagai tali kekang untuk mengawal sifat-sifat kebinatangan ini.

Oleh itu, apabila kita melakukan ibadah korban, maka antara hikmahnya ialah melatih jiwa kita untuk bersikap prihatin dan berbelas kasihan kepada sesama umat. Sifat "Haji Bakhil bin Lebai Kedekut" sedikit sebanyak dilunturkan kerana korban memerlukan harta untuk dikorbankan. Apalah RM400 - RM500, bagi yang berkemampuan, tetapi kenapa tidak ramai yang melakukannya, mungkin alasannya tidak mampu sedangkan duit di bank ada banyak lagi.

Antara hikmahnya lagi ialah sewaktu berkorban, hendaklah kita mohon kepada Allah mudah-mudahan segala sifat kebinatangan yang ada pada diri kita dihilangkanNya. Agar dengan keberkatannya, jadilah kita insan yang sempurna (i.e. bukan makhluk berupa manusia berhati serigala, bukan makhluk badan manusia kepala baghal dan sebagainya). Inilah, kata sebahagian sufi, isyarat dari sabdaan Junjungan s.a.w. "Fa thiibuu biha nafsan", (maka engkau perbaikkanlah dengannya (yakni dengan korban) akan diri). Insya-Allah, segala ibadah yang maqbulah di sisi Allah akan mempunyai efek positif bagi diri pelakunya. Begitu juga dengan korban yang dilakukan dengan ikhlas hanya untuk Allah.

Mari sama-sama kita cari sapi dan kambing untuk dibuat korban tahun ini. Lagi mahal harganya ertinya lagi banyak harta kita dilaburkan untuk saham akhirat. Ingat ibadah korban adalah sunnah muakkad bagi yang berkemampuan. Punya kuat tuntutannya, diberitakan bahawa Junjungan s.a.w. murka pada orang kaya yang tidak melakukannya, sehingga dinyatakan Junjungan s.a.w. menegah mereka untuk menghampiri tempat baginda bersholat.