Sunday, August 10, 2008

Hak Bersuara

Apakah kita lupa bahawa setiap insan yang lahir mempunyai kewajipan untuk menyatakan sesuatu kebenaran dan menyangkal akan dusta yang disampaikan oleh mereka yang jahil? janganlah kita terbawa-bawa dengan cita-cita tinggi kita untuk mencapai bulan dan bintang hingga sanggup menindas dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang cita-cita tersebut tanpa mengenal erti kebenaran, hak dan dosa. janganlah kita menjadi satu bangsa yang sanggup melakukan kenungkaran semata-mata untuk memenuhi nafsu serakah dan kuasa yang menggila. Saya ingin membawa sekalian yang ada untuk merenung kembali teks ucapan DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR AHLI PARLIMEN PENDANG pada 10 Julai 2000. Semoga menjadi ingatan kepada kita semua.

"Kebebasan bersuara merupakan antara hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan negara seperti yang diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 10. Hak ini merupakan suatu kurniaan Allah yang digunapakai oleh setiap bangsa yang bertamadun.
Dalam batas-batas yang diterima sebagai satu konvensyen, hak bersuara merupakan saluran bagi manusia menyampai dan menerima maklumat bagi memajukan umat manusia. Perkembangan dan kemajuan intelek rakyat di negara-negara yang menghormati hak bersuara ini jelas dapat dilihat di negara maju sementara negara yang menghadkan kebebasan bersuara ternyata mundur dari segi perkembangan minda rakyatnya. Amalan kebebasan bersuara telah sama kita nikmati sejak merdeka dalam darjah kebebasan yang berbeda-beda.
Zaman pemerintahan Perdana Menteri pertama memberikan kebebasan untuk berhimpun dalam rapat-rapat umum. Kebebasan ini memberikan peluang kepada kumpulan minoriti dan pembangkang menyampaikan mesej mereka kepada masyarakat. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, rapat umum diharamkan, tetapi ceramah umum masih diizinkan. Dalam keterbatasan ini, pihak pembangkang masih boleh, walaupun dengan bersusah payah, berdepan dengan masyarakat, dan kita memanfaatkan hak ini bagi membantu pembinaan negara.
Selepas pilihanraya ke 10 pada November 1999 yang melihatkan pencapaian luar dugaan parti Barisan Alternatif, kerajaan Barisan Nasional mengambil sikap yang negatif dengan memutuskan sebahagian saluran perhubungan dan maklumat dari Parti BA dengan penyokong serta rakyat keseluruhannya. Mereka takut apabila ruang komunikasi antara parti BA dengan orang ramai terbuka luas, apa yang berlaku di Terengganu dan Kelantan serta di beberapa buah negeri lagi merebak ke seluruh negara.
Harakah yang menjadi lidah penyambung PAS dengan rakyat telah dikongkong dengan amat kejam sekali. Permit berceramah pula telah dihadkan dengan begitu tegas sekali oleh pihak berkuasa. Pihak BA telah mengadakan pertemuan dengan pihak tertinggi Polis sebelum ini bagi mendapatkan kerjasama daripada pihak keselamatan.
Berbagai syarat yang dikenakan telah dipatuhi oleh penganjur-penganjur ceramah di seluruh negara. Belum ada satu pun peristiwa dimana sesi ceramah yang dianjurkan oleh BA bertukar ganas atau menimbulkan gangguan ke atas ketenteraman awam. Tidak ada sebarang alasan konkrit yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa untuk menolak berbagai permohonan BA selain isu bahawa pilihanraya telah tamat.
Ceramah BA bukan semestinya ceramah pilihanraya. Oleh itu ceramah BA tidak terikat dengan bila pilihanraya akan diadakan. BA juga menyediakan petugas yang ramai bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas, malah banyak membantu pasukan polis yang turut hadir dalam ceramah-ceramah BA. Jadi apabila polis meminta surat kebenaran pihak berkuasa tempatan bagi kegunaan padang awam, selain kebenaran tuan rumah, meminta geran tanah lapang yang akan dijadikan tempat ceramah, menghadkan penceramah kepada beberapa nama penceramah tertentu, membuat penyiasatan yang bukan-bukan terhadap tuan rumah serta penganjur, membatalkan permit di saat-saat akhir setelah semua persiapan dibuat, semuanya ini adalah langkah-langkah yang menyusahkan kami serta menimbulkan kemarahan para petugas dan penyokong kami.
Setakat ini, pihak BA banyak berkompromi dan bersabar dalam menghadapi halangan-halangan ini. Tapi kami mula dihujani persoalan dan rasa tidak puas hati dari ahli dan penyokong seluruh negara. Rakyat membangkitkan soal keadilan dalam melayani parti pembangkang. Kami masih mampu memujuk mereka dengan harapan keadaan akan berubah dan kebebasan bersuara ini dipulihkan. Namun tiada isyarat-isyarat positif yang kita perolehi daripada pihak berkuasa.
Dalam era teknologi maklumat ini, adalah tidak munasabah kebebasan bersuara dihadkan sehingga menjejaskan daya intelek manusia dalam persaingan untuk memperolehi maklumat mengikut cara yang dirasakan paling berkesan. Rakyat yang patuh kepada undang-undang tidak akan menyalahgunakan kemudahan ini, sementara bagi penyeleweng, undang-undang yang sedia ada mencukupi untuk menanganinya. Pembangunan sektor media cetak juga harus mengikuti perkembangan semasa. Halangan yang dikenakan dewasa ini terhadap beberapa akhbar seperti Harakah, Eksklusif, Majalah Detik dan lain-lainnya adalah langkah mundur yang meletakkan Malaysia jauh terkebelakang dalam senarai negara yang mempunyai kebebasan akhbar. Malah pemimpin negara kita masih tersenarai di kalangan pemimpin yang memusuhi akhbar.
Negara sepatutnya membina suasana pertumbuhan akhbar yang mandiri, kompetitif dan berkualiti. Orang akan mentertawakan kita yang ghairah dengan membuka koridor raya multi-medianya sedangkan media tradisinya sendiri dikongkong. Bagi berlaku adil kepada rakyat dan bagi memulihkan semula hak asasi rakyat untuk bersuara, serta bagi mengembalikan semula imej Malaysia di mata dunia yang tercacat akibat tindakan zalimnya selama ini, kami memohon supaya:
1. Kekerapan Harakah dikembalikan kepada 2 kali seminggu dengan memberikan semula permit penerbitannya seperti dulu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Segala syarat seperti dahulu tetap akan dipatuhi dan pihak penerbit bersedia untuk ditegur atas sebarang kekurangannya. Jika berlaku perkara yang dikatakan melanggar undang-undang, pengurusan Harakah sedia dibawa ke muka pengadilan dan biarkan mahkamah membuat penentuan, seperti dalam kes yang berlaku ke atas ketua editor Harakah yang didakwa di bawah Akta Hasutan.
2. Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menimbang dan meluluskan permohonan PAS untuk menerbitkan akhbar harian PURNAMA dengan terma dan syarat yang sama seperti dikenakan kepada lain-lain akhbar harian.
3. Pihak berkuasa memberikan permit kepada semua permohonan untuk mengadakan ceramah yang melengkapi semua syarat biasa, tanpa mengenakan syarat-syarat yang tidak munasabah. Campur tangan pihak parti BN membantah penganjuran ceramah oleh BA tidak harus dilayan samasekali oleh pihak berkuasa. Kami mengharapkan suasana di mana pihak berkuasa berkecuali dalam menghadapi persaingan di kalangan parti politik di Malaysia.
4. Meminta kerjasama kerajaan memastikan liputan akhbar harian dan media elektronik kerajaan atau swasta tidak memberikan laporan berat sebelah yang memusuhi pihak Barisan Alternatif. Di samping itu media kerajaan tidak dimonopoli parti pemerintah dalam memberikan laporan khusus untuk parti pemerintah dengan menggunakan peruntukan wang kerajaan yang datang daripada rakyat.
5. Jika keadaan tidak dipulihkan kepada tahap yang lebih demokratik, kerjasama pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan diperolehi, dan ini tentunya bukan publisiti yang baik bagi Kerajaan Barisan Nasional
Sekian. Terima kasih.
DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR AHLI PARLIMEN PENDANG."

No comments: