Wednesday, August 19, 2009

Industri "Ah Long" bernilai jutaan ringgit...

Bayangkan betapa berpengaruhnya agensi pinjaman wang "Ah Long" hingga mencecah RM10 juta. Kehebatannya ditambah dgn penglibatan individu yg bergelar "Datuk". Tidak keterlaluan jika saya katakan mungkin ada diantara mereka mendapat "perlindungan khas" dari dikesan oleh pihak polis. Namun demikian, tahniah kpd pihak Polis krn berjaya menangkap petualang ini dari menjahanamkan org2 kita.

Polis tahan 5 ketua ah long babitkan pinjaman RM10 bilion

JOHOR BAHRU 19 Ogos - Polis menahan lima ketua ah long termasuk seorang bergelar Datuk yang terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman secara haram membabitkan nilai pinjaman sebanyak RM10 juta, baru-baru ini.

Berikutan penangkapan itu, ketua-ketua ah long tersebut yang kebanyakannya berasal dari Johor mendedahkan nama ahli kumpulan masing-masing.

Namun, menyedari ketua mereka telah ditangkap, terdapat sebahagian daripada ahli kumpulan ah long itu yang kini dikesan melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kelima-lima ketua kumpulan itu yang berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.

''Kita percaya ada di antara ahli kumpulan berkenaan telah melarikan diri ke luar negara setelah ketua kumpulan mereka ditahan,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Polis menahan empat ketua ah long, dan seorang yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan polis dalam kes membabitkan kegiatan ceti haram itu pada bulan lalu.

Difahamkan, kumpulan ah long itu mempunyai rangkaian dengan beberapa sindiket lain di dalam dan luar negara.

Mohd. Bakri berkata, pihaknya juga tidak akan menghebahkan bilangan ahli kumpulan ah long yang terlibat bagi mengelak daripada mengganggu siasatan.

''Kita sedang memperincikan setiap maklumat yang diperoleh termasuk mengenal pasti setiap ahli yang terlibat bagi membolehkan mereka ini ditahan dengan segera.

''Kesemua ketua ah long yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan kesemua harta mereka akan disita,'' tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Bakri menolak andaian bahawa Johor merupakan pusat tumpuan ah long untuk beroperasi memandangkan negeri lain juga mempunyai kegiatan tersebut.

''Saya tidak kata Johor pusat kegiatan sindiket ah long walaupun banyak tangkapan dibuat di sini. Apa yang pasti, polis akan memantau kegiatan haram ini tanpa mengira mana-mana negeri,'' katanya.

No comments: