Thursday, June 4, 2009

Rukun Negara




Dalam kesibukan kita mengejar kerjaya dan rutin harian, mungkin kita terlupa betapa luhurnya pemimpin kita mencari ikrar taat setia agar dapat dijadikan sandaran kepada rakyat berbilang kaum di negara ini. Setelah peristiwa 13 Mei, allahyarham Tun Razak pada ketika itu telah menggariskan lima prinsip yang dikenali sebagai Rukun Negara sebagai panduan rakyat bagi mengelak berlakunya perselisihan faham antara kaum di negara ini. Saya harap artikel yang dipetik dari http://www.penerangan.gov.my/myperkasa/?p=37 dapat menjelaskan lagi akan intipati RUKUN NEGARA.

Pengubalan Rukun Negara pada tahun 1970 bertujuan melahirkan satu dokumen atau etika untuk kesejahteran rakyat Malaysia. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 adalah berpunca daripada perasaan ketidakpuasan hati jiwa rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Pada ketika itu tidak ada piagam atau panduan untuk dijadikan rukun sebagai pegangan setiap kaum. Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara meliputi amalan kehidupan yang lengkap untuk rakyat Malaysia hidup secara aman, selamat serta menjamin setiap hak dan peluang yang ada di negara ini.

Prinsip yang pertama Kepercayaan kepada Tuhan merupakan teras kepada kehidupan manusia. Semua kaum yang terdapat di negara ini pasti mempunyai agamanya sendiri. Setiap agama mempunyai Tuhannya sendiri yang mewajibkan umatnya taat setia dan menurut segala suruhannya. Semua agama di dunia ini menyuruh penganutnya berbuat baik. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum pastinya disuruh dan digalakkan berbuat baik terutama sesama manusia.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua yang memerlukan setiap rakyat Malaysia mempunyai rasa hormat dan taat setia kepada raja. Raja adalah institusi yang perlu dihormati kerana beliau adalah tunjang atau ketua kepada negara dan negeri. Rakyat juga diwajibkan mempunyai semangat dan perasaan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara. Melalui prinsip ini semua rakyat tanpa mengira kaum, keturunan, agama dan budaya perlu taat dan setia kepada Sultan atau Raja di negara ini disamping cintai serta sayangkan kepada negara. Raja atau Sultan adalah symbol perpaduan rakyat Malaysia.

Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang adalah prinsip Rukun Negara yang ketiga dan keempat. Rakyat negara ini perlu meletakkan kepercayaan kepada Dewan perwakilan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai pengubal undang-undang negara demi kesejahteraan hidup semua rakyat. Perlembagaan negara adalah panduan atau doktrin untuk negara melaksanakan segala urusan pemerintahan. Undang-undang yang digubal dan dilaksanakan bertujuan menjaga keamanan dan kesejahteraan hidup semua rakyat Malaysia. Rakyat negara ini perlu bersatu padu di bawah satu persefahaman yang telah dicapai dan dimenterai oleh kedua-dua prinsip ini.

Prinsip kelima Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan. Melalui prinsip ini rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengamalkan nilai-nilai kehidupan yang murni dan bersatu padu. Bagi menjaga kestabilan, keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat, amalan perpaduan dan sifat bertoleransi antara kaum perlu diamalkan dalam masyarakat negara ini. Semua kaum bebas mengamalkan agama, kebudayaan, adat resam dan kepercayaan disamping perlu menghormati amalan kaum lain. Semangat berkerjasama serta saling memahami adalah menjadi kunci kepada kejayaan negara. Segala kepentingan dan perselisihan pendapat perlu dibincangkan secara muafakat. Melalui prinsip ini rakyat digalakkan mengamalkan semangat perpaduan serta tolak ansur antara kaum bagi memelihara keamanan negara berkekalan.

Sekiranya semua rakyat Malaysia dapat mengamalkan prinsip-pronsip Rukun Negara, keamanan dan kestabilan negara akan terus terpelihara. Semangat rela berkorban untuk negara juga akan wujud di kalangan masyarakat yang dapat memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara. Dalam keadaan politik dan ekonomi negara yang tidak menentu, semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik wajar kembali menghayati Rukun Negara. Jadikanlah Rukun Negara sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan bagi menjamin kecemerlangan negara di masa depan. Bersatu teguh, Bercerai kita roboh.

1 comment:

malaysia.suarademokrasi said...

HI,...
follow blog saya di www.sd-malaysia.blogspot.com