Tuesday, September 29, 2009

Tahniah...semoga "BN" berjaya kali nih.....

Isa calon pilihan rakyat - TPM


Muhyiddin Yassin serta pemimpin komponen Barisan Nasional mengangkat tangan selepas Mohd. Isa Samad (tengah) dipilih sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Batu 6 Jalan Pantai, Port Dickson, semalam.


PORT DICKSON 29 Sept. - Pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dibuat atas kehendak akar umbi dan pengundi serta selaras dengan konsep rakyat didahulukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehendak rakyat dahulukan dan kehendak pengundi di Bagan Pinang yang mahukan Mohd. Isa sebagai calon telah dikotakan dan utamakan.

"Kita telah teliti, bukan sahaja ditilik malahan kita juga berjumpa dengan pengundi semua peringkat masyarakat dan bertanyakan mengenai calon yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka.

"Maka atas dasar inilah dan mengambil kira semua pertimbangan sedia ada, kita ambil keutamaan rakyat didahulukan dan berharap pengundi di sini terus memberi sokongan padu kepada Mohd. Isa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan nama calon BN pada pilihan raya kecil berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai di sini petang ini.

Muhyiddin sebelum itu secara spontan bertanyakan tiga kali mengenai siapakah calon yang dimahukan oleh lebih 10,000 rakyat yang hadir dan majlis kemudian bergema apabila kesemua hadirin secara serentak melaungkan nama Mohd. Isa.

Selepas itu, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN mengumumkan secara rasmi nama Mohd. Isa pada pukul 5.25 petang ini.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya kemudian, Muhyiddin menjelaskan, rakyat pelbagai kaum, tidak kira Melayu, Cina dan India menerima Mohd. Isa yang cukup dikenali mereka dan pastinya sokongan itu tidak berbelah bahagi.

"Pengundi di sini sudah lama kenal beliau (Mohd. Isa), beliau begitu mesra dengan orang kampung di sini, populariti beliau tidak dapat dinafikan. Ini adalah kehendak orang tempatan.

"Sebab itulah saya tanya rakyat sebanyak tiga kali sebentar tadi. Saya tak mahu keputusan ini datang daripada saya seorang tetapi juga atas kehendak rakyat. Mereka mahukan Mohd. Isa dan ini membuktikan betapa rakyat yakin dengan kredibiliti beliau," kata beliau.

Kata Muhyiddin, walaupun mungkin dalam sejarah politik, orang akan membangkitkan pelbagai isu yang memburukkan calon BN, namun jentera parti sudah bersedia untuk menjelaskannya sebaik mungkin.

"Dalam sejarah politik, saya sendiri pun ada masalah. Sebenarnya, pengundi di Bagan Pinang, di mana tempat Mohd. Isa dibesarkan, mereka lebih mengenali hati budi beliau.

"Saya tahu pembangkang akan bangkitkan pelbagai isu, kita percaya itu dapat diatasi sebaik mungkin dan kita telah pun membuat keputusan meletakkan Mohd. Isa sebagai calon di Bagan Pinang, oleh itu saya mengharapkan sokongan daripada pengundi di sini," jelas beliau.

Mengenai kawasan di Bagan Pinang ini, Muhyiddin berkata, masih banyak lagi perlu dibangunkan lebih-lebih lagi ia merupakan lokasi strategik pelancongan.

"Kita akan terus bangunkan kawasan ini kerana sebahagian besar kawasan Bagan Pinang merupakan lokasi pelancongan.

"Saya percaya dan yakin Mohd. Isa dapat meneruskan pembangunan di kawasan ini dan dengan pengalaman yang beliau ada, penduduk akan mendapat faedah daripadanya," kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Romah Mansor tiba di lokasi pengumuman ini pada 5.30 petang untuk memberi sokongan kepada Mohd. Isa dan jentera parti.

Hadir sama pemimpin komponen BN termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai serta Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Turut hadir Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin UMNO di semua peringkat di negeri ini.

No comments: