Monday, August 11, 2008

Transkrip Debat DSAI dan Datuk Shabery

PERANTARA:* Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Debat AgendaDaily
ini membawa tajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’.
Di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, dua orang tokoh
kami bawa khas untuk mendebatkannya. Debat ini mengambil masa sejam dan
disiarkan secara langsung ke seluruh Negara.

Format debat ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Masing-masing juga
telah menamakan seorang wakil yang bertindak sebagai ahli panel. Mereka akan
menanyakan soalan kepada pendebat yang mencalonkan mereka selain soalan
kepada pendebat yang seorang lagi. Jumlah soalan bergantung kepada keadaan
masa. Saya sendiri akan menanyakan soalan kepada kedua-dua pendebat ini.
Supaya berlaku adil, soalan yang sama akan ditanya kepada kedua-dua orang.
Kedua-dua pendebat juga akan diberi peluang untuk bertanya satu sama lain.

Untuk pemula bicara atau opening statement setiap tokoh akan diberikan masa
4 minit. Loceng akan dibunyikan selepas 3 setengah minit. Setiap soalan lain
mesti dijawab dalam masa kurang dari 3 minit atau loceng akan dibunyikan
sebagai tanda peringatan. Setiap pendebat akan membuat penggulungan selama 3
minit.

Saudara penonton yang saya hormati sekalian, tugas saya hanyalah sebagai
perantara. Maka itu, saya memohon kepada kedua-dua tokoh ini untuk
mendebatkan isu ini secara terbuka, profesional dan beretika. Tanpa
ragu-ragu, saya akan menegur mana-mana pihak ataupun pendebat yang
menyimpang dari tajuk atau yang mengemukakan soal-soal yang tidak relevan
dengan apa yang sepatutnya dibahaskan.

Dengan penuh hormat, saya ingin memperkenalkan kedua-dua tokoh pendebat kita
malam ini. Di atas pentas itu, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri
Penerangan Malaysia dan di sebelah beliau ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
Penasihat Parti Keadilan Rakyat atau PKR. Dua orang tokoh yang menjadi wakil
pendebat ialah di sebelah kanan saya, Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi, Naib
Canselor Universiti Utara Malaysia dan Presiden Persatuan Universiti
Malaysia dan di sebelah kiri saya, bagi pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
Saudara Zulkifli Sulong dari Akhbar Siasah.

Saya mulakan debat AgendaDaily bertajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok
Turun Harga Minyak’ dengan mempersilakan Dato’ Seri Anwar untuk membuat
opening statement selama 4 minit. Dipersilakan.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Terima kasih Datuk Johan dan AgendaDaily atas kesempatan ini. Dan
penghargaan khusus kepada Dato’ Ahmad Shabery kerana memberikan ruang yang
julung-julung kali diadakan.

Saya menerima pelawaan ini dengan senang hati untuk membuka wacana yang
bebas dan segar. Walaupun pada peringkat awal saya memilih untuk berdebat
dengan Perdana Menteri atau Timbalan, tetapi saya terima baik kerana saya
nak menggunakan kesempatan ini untuk menjelaskan, kalau kesempatan Pakatan
Rakyat memerintah hari ini, esok harga minyak tetap turun.

Saya cadangkan, berdasarkan perkiraan kekuatan makro ekonomi negara kita,
pertumbuhan dan potensinya, penyusunan dan pengurusan pemerintahan yang
lebih cekap dan bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan jumlah yang
kita fikirkan untuk diturunkan dalam kadar segera sebagai langkah awal ialah
50 sen.

Maknanya mulai esok seandainya kita memerintah malam ini, harga minyak ialah
RM2.20. Saya pertahankan hujah ini kerana beban rakyat itu sudah tidak
terkawal. Petani, nelayan, pekerja, peniaga peringkat menengah dan atasan
itu mengalami satu keperitan yang luar biasa. Ini jarang sekali berlaku
dalam sejarah Negara kita.

Kenaikan mendadak yang cukup membebankan orang-orang yang majoritinya Melayu
lebih banyak menerima kesan. Semua perbicaraan tentang menyelamatkan orang
Melayu dan membela nasib orang Melayu itu hanya omongan... Tetapi
kenyataannya keperitan itu menimpa orang Melayu, termasuklah bumiputera
Sabah dan Sarawak.

Bagaimana boleh dapat saya kumpulkan RM5 bilion ini? Saya akan jelaskan dan
memperincikan berikutnya. Iaitu TNB sekarang umpamanya mempunyai standby
capacity yang berlebihan. Reserve 40%, di antara paling tinggi di dunia.
Siapa yang untung? IPP â€" Jana Kuasa Bebas. Untungnya sudah berbilion
ringgit, ada lagi kapasiti yang begitu besar.

Mengapa kita harus berikan? PETRONAS rugi, TNB rugi… yang untung IPP. Dan
kapasiti 40% itu saya usulkan untuk dikurangkan standby capacity itu kepada
20%. Dengan mengurangkan kapasiti itu sahaja kita telah mendapat RM2 bilion.
Jadi kita kena cari RM3 bilion lagi. PETRONAS hari ini dalam financial
announcement menyebut jumlah keuntungan yang besar bagi tahun 2008 yang baru
selesai diumumkan hampir RM100 bilion.

Jangan kita bicara soal naik harga minyak. Naik harga minyak di pasaran
dunia bermakna pendapatan dan dana Kerajaan bertambah .... meningkat besar.
Jadi kalau kita mempunyai keuntungan begitu besar, sebahagiannya untuk
PETRONAS dan saya tidak ganggu PETRONAS kerana PETRONAS mempunyai rekod yang
cemerlang dan pengurusannya membanggakan. Masalahnya ialah manakala campur
tangan politik, pengurusan politik yang sangat lemah membebankan negara.

Jadi oleh yang demikian, saya mengusulkan sebagai langkah awal kita turunkan
50 sen mulai esok. Walaupun sekarang Barisan Nasional memerintah, bermakna
ini tidak mungkin. Tetapi kita turunkan 50 sen esok, Insya Allah dan saya
akan jelaskan dalam masa yang diberikan nanti bagaimana kita boleh cari RM3
bilion. RM3 bilion ini untuk dana meringankan beban rakyat itu tidak terlalu
besar.

Kerugian dan tanggungan PERWAJA sahaja RM13 bilion yang boleh ditampung oleh
Kerajaan. Mengapakah harus kita menjadikan isu terlalu besar apabila RM3
bilion itu ingin diagihkan kepada rakyat jelata.

*PERANTARA:* Terima kasih Dato’ Seri Anwar. Saya mempersilakan YB Dato’
Ahmad Shabery Cheek.

*YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK*: Assalamualaikum w.b.t. Saya menerima
jemputan AgendaDaily untuk berdebat malam ini atas kesedaran bahawa adalah
tanggung jawab saya sebagai orang yang dipilih oleh rakyat dan juga seorang
Menteri yang dipilih melalui proses yang sah. Dan saya bertanggung jawab
untuk menyatakan bahawa apa-apa tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan,
inilah cara yang terbaik untuk masa depan negara kita dan masa depan rakyat.
Bukan pendekatan populis yang sering dilakukan dalam banyak negara yang
tidak semestinya negara itu berakhir dengan keadaan ekonomi yang lebih baik
kepada masyarakatnya.

Perlu saya jelaskan di sini bahawa kalaulah dikatakan pada hari ini 50 sen
hendak diturunkan, sebenarnya ucapan ini saya dah dengar sebelum pilihan
raya yang lepas. Jadi bermakna dia mesti bercakap pada harga sebelum pilihan
raya iaitu pada harga RM1.92.

Tentangannya ialah menentang kadar kenaikan harga yang baru-baru ini. Kalau
kita teruskan pada harga RM1.92, ini bermakna subsidi yang terpaksa
ditanggung oleh Kerajaan ialah sebanyak RM50 bilion. Dan ini bermakna banyak
program-program pembangunan, soal sekolah, soal rakyat, soal jalan, soal
orang di FELDA, soal orang di kampung tidak dapat dilaksanakan hanya untuk
menampung cara hidup yang berterusan yang ada pada hari ini.

Perlu saya jelaskan juga bahawa, kita perlu tahu bahawa kenaikan harga
minyak sekarang ini bukanlah kerana kita. Kita mesti sedari hakikat bahawa
kita berhadapan dengan krisis minyak seluruh dunia. Harga minyak naik bukan
Kerajaan yang salah tetapi ini adalah kerana keadaan kenaikan harga minyak
dunia disebabkan perang di Iraq, kemungkinan serangan di Iran, tentang
permintaan China dan India yang semakin besar dan faktor-faktor lain yang
dirasakan di seluruh dunia.

Dalam sejarah Negara kita, harga minyak dunia ataupun krisis minyak ini
bukan kali yang pertama. Kali yang pertama ialah dalam tahun 1973 dan 1974.
Pada waktu itu selepas perang Yunkipur atau Perang Ramadhan pada ketika itu,
di mana orang-orang Arab â€" negara-negara Arab berpakat untuk mengenakan
tindakan embargo minyak kepada negara-negara yang menyokong Israel pada
waktu itu. Pada masa yang sama ia memberhentikan atau mengurangkan
pengeluaran minyaknya.

Waktu itu juga, seluruh dunia menghadapi masalah inflasi yang teruk. Harga
minyak naik mendadak 400% daripada 10 dolar setong hingga 40 dolar setong
dalam masa 6 bulan. Memberikan kesan inflasi yang cukup teruk termasuk dalam
Negara kita pada waktu itu. Tetapi saya ingat pada waktu itulah pentingnya,
tahun 1974 ialah zaman Tun Razak.

Tun Razak menubuhkan PETRONAS pada waktu itu. Menubuhkan PETRONAS dalam
keadaan yang tertekan kerana dunia luar menekan kita jangan ambil hak yang
telah diberikan kepada SHELL pada waktu itu. SHELL telah diberikan oleh
British sebelum meninggalkan negara kita. Kita tubuh PETRONAS pada waktu itu
dan ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Sebab itulah pada waktu itu seluruh rakyat bersatu menyokong Tun Razak. Pada
waktu itu polls khas menyokong Tun Razak. Pada waktu itu juga banyak
parti-parti lain menyokong Tun Razak. Saya ingat pada waktu itu Saudara
Anwar memilih untuk memalukan Tun Razak, berarak di jalan raya mengajak
mahasiswa dan sebagainya.

Seperti dulu dan seperti hari ini, rakyat memang sempit tetapi saya melihat
sama seperti dulu, Saudara Anwar suka mengambil kesempatan daripada
kesempitan rakyat. Sebab itulah kita katakan bahawa, memberikan minyak yang
murah bukan penyelesaiannya. Banyak negara ....... terima kasih.

*PERANTARA:* Terima kasih Dato Seri dan terima kasih Dato’. Kita masuk
kepada pusingan yang kedua. Ini merupakan soalan saya yang saya tujukan
kepada kedua-dua tokoh ini. Soalan saya ialah, pada masa ini PETRONAS hanya
menguasai kira-kira 40% pasaran runcit petroleum. Sekiranya subsidi yang
besar diberikan, maknanya Kerajaan juga harus menanggung subsidi untuk
beberapa syarikat minyak raksasa yang ada di negara ini termasuk EXXON Mobil
dan SHELL. Apa komen pendebat? Saya mulakan dengan Dato’ Ahmad Shabery
Cheek.

*YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK:* Kita mesti mengakui bahawa kaedah subsidi
adalah kaedah yang tidak boleh bertahan lama. Banyak subsidi ertinya kita
mesti mengakui akan memberi kesan pertumbuhan ekonomi yang sebenarnya.

Kalau kita terus memberi subsidi yang banyak, kita akan mewujudkan satu
keadaan bahawa wang Negara yang sepatutnya dilaburkan untuk kepentingan
rakyat, untuk sekolah, untuk hospital dan sebagainya terpaksa digunakan
hanya untuk menampung subsidi minyak yang sebahagiannya akan digunakan oleh
orang-orang yang sudah kaya, yang sudah mempunyai kenderaan yang besar
termasuk orang-orang dari luar negara. S

ebab itulah kita katakan di sini bahawa kalau kita terus memberi subsidi
sebagaimana yang disebutkan tadi, ada syarikat-syarikat seperti EXXON Mobil,
seperti SHELL dan sebagainya yang turut mendapat faedah daripada wang
rakyat. Dalam soal ini, kenapa tidak kita berikan wang tersebut terus kepada
rakyat dan ini yang dibuat oleh kebanyakan negara-negara maju yang lain.

Kalau disebutkan tadi kerana pengurusan yang tidak cekap, kerana ada rasuah
dan sebagainya. Kita tanya Norway, Finland, tanya negara-negara maju yang
lain yang dikatakan paling kurang rasuah, mereka juga tidak subsidi dan
mereka telah menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik dan Malaysia juga
harus menuju ke arah itu.

*PERANTARA* : Dato’ Seri Anwar.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Debat ini masalah minyak, bukan Anwar dan
Shabery. Oleh yang demikian, saya tidak memilih untuk menyentuh beliau
walaupun beliau tokoh Semangat 46 dahulu. Itu tak apa.

Soalnya saudara, kita nak banding dengan Norway, pendapatan per kapita
Norway 10 kali lebih daripada Malaysia. Kita bicara soal harga minyak ini,
keperitan rakyat, petani, nelayan dan pekerja yang miskin. Jadi kalau kita
nak bandingkan dengan kedudukan negara industri yang capai tahap yang baik,
ini agak sukar. Nisbah dan basis perbandingan itu meleset sama sekali.

Saudara, soal minyak, soal bantuan, meredakan keperitan rakyat ini tanggung
jawab mana-mana pemerintah. Lebih ramai orang miskin, lebih rakyat
terpinggir, baik Melayu atau bumiputera Sabah, Sarawak atau segelintir Cina
dan masyarakat India di estet, itu tanggung jawab kita. Soalnya, menaikkan
kadar minyak dengan mendadak begini, cukup membebankan. Dan kalau
pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sampai hari ini tidak sedar,
saya fikir masa depan parti itu tidak begitu cemerlang lagi... Orang tidak
akan yakin.

Saudara, ini realitinya. Saudara tahu, berapa ramai jumlah pengangguran? Itu
akan saya sentuh. Sebab itu prinsip subsidi, bila nak tolong orang miskin,
subsidi. Bagaimana tentang prasarana infrastruktur, berpuluh bilion ringgit
yang disediakan untuk pedagang-pedagang untuk industri? Untuk pelabuhan?
Bukankah itu bentuk subsidi?

Prasarana disediakan dengan jumlah yang besar, kita sebut insentif. Tolong
rakyat miskin dengan subsidi minyak kita panggil subsidi. Jumlah nak tampung
kerugian PERWAJA saya sebut tadi, dan MAS dan pelbagai bail-out , kita sebut
bail-out, bantuan menyelamatkan ekonomi. Nak bantu nelayan, petani dan
Melayu miskin namanya subsidi. Dan subsidi itu namanya cukup negatif dan
busuk sekali. Saya tidak setuju.

Saya anggap tanggung jawab kita dalam mana-mana negara. Kita ada dana.
Keuntungan PETRONAS, tak sentuh bahan sektor yang diperoleh daripada
PETRONAS, itu perlu untuk pelaburan dan sebagainya. Ini soal dana yang besar
yang diperoleh oleh Kerajaan. Memang betul untuk sekolah, tapi kalau kita
ambil berbilion dari rakyat kemudian kita tingkatkan bangunkan sekolah,
tanggung jawab dan boleh kita sentuh dalam round kedua. Insya Allah.

*PERANTARA:* Baik, terima kasih Dato’ Seri Anwar. Demikian saudara
penonton sekalian, berakhirnya segmen pertama debat AgendaDaily ini. Kita
akan bertemu lagi selepas pesanan iklan ringkas ini. Jangan ke mana-mana

*PERANTARA:* Saudara penonton yang saya hormati sekalian, kita sedang
mengikuti Debat AgendaDaily mempertemukan YB Dato’ Shabery Cheek dengan
Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membawa judul ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan,
Esok Turun Harga Minyak’. Kita sampai pada pusingan ketiga sekarang, saya
mempersilakan wakil Dato’ Ahmad Shabery bertanyakan soalan kepada Dato’
Seri Anwar. Silakan Tan Sri.

*TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI:* Terima kasih Pengerusi. Sebelum saya
mengemukakan soalan yang terbuka, saya ingin terlebih dahulu mendapatkan
komitmen yang diucapkan oleh Dato’ Seri tadi, iaitu premis kepada cadangan
apabila memerintah hari ini besok harga minyak akan turun 50 sen, bukan
kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak, ya atau tidak?
*
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Ya, Malaysia ialah negara pengeksport minyak.

*TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI:* Kerana Malaysia negara pengeksport minyak,
itu sebabnya cadangan ini dikemukakan?

*DATO’ SERI ANWAR:* Ya.

*TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI:* Jadi apabila cadangan ini dikemukakan
sedangkan dalam hujah telah menyentuh perkara-perkara lain yang bukan
berkaitan dengan minyak iaitu yang berkaitan dengan IPP dan sebagainya. Jadi
saya merasai .....

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* IPP itu ada hubungan minyak dengan gas.

*TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI:* Premis itu sudah bercampur-campur, jadi
saya suka menyebut beberapa angka iaitu hasil ataupun revenue daripada
minyak. Mengikut laporan tahunan yang telah diumumkan ialah RM223 bilion.

Dan daripada RM223 bilion ini yang merupakan hasil daripada minyak yang
dikorek daripada Malaysia ialah 26% iaitu RM56 bilion, sedangkan PETRONAS
telah mengembalikan wang sebanyak RM63 bilion, bermakna melebihi daripada
duit minyak yang diperoleh daripada urus niaga minyak Malaysia sebanyak RM5
bilion lebih.

Jadi dengan demikian, seolah-olah apabila wang ini dilaburkan semula untuk
perkembangan ekonomi, dan apabila Dato’ Seri memerintah hari ini, besok
akan menurunkan harga minyak, Seolah-olah Dato’ Seri seumpama seorang anak
yang telah kematian bapa akan membahagi-bahagikan harta ini yang telah
dikumpulkan hasil keringat orang terdahulu, untuk mendapatkan keseronokan di
kalangan kawan-kawan bahawa Dato’ Seri adalah pemimpin yang baik.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Terima kasih. Terima kasih atas ucapan
pengulas. Saya fikir dia nak tanya soalan. Tapi mungkin kaunseling punya
pengaruh.

Basic, pengetahuan basic bila kita sebut industri petroleum itu, termasuk
minyak dan gas. Patut dapat taklimat awal. Tapi kalau yang disebut oleh
PETRONAS ini, keuntungan besar dari pelaburan PETRONAS dan PETRONAS ini
walaupun termasuk dalam di antara 100 syarikat minyak terbaik, tapi dari
segi keuntungan termasuk di antara yang ke 10 terbaik.

Dan keuntungan ini ialah kerana operasi kebanyakannya itu dalam negara dan
sebahagian kecil di luar. Dan dalam polisi kita tentunya kita menggalakkan
PETRONAS untuk terus melabur sebahagian pendapatannya. Sebab itu kita tidak
menyentuh dana yang diperoleh oleh PETRONAS. Kita nak menyentuh dana yang
dipulangkan kepada Kerajaan kerana PETRONAS ini milik dan khazanah Negara.
Berhak untuk rakyat, anak ni maknanya anak kita semua, itu hak mereka.

Jadi sebenarnya soal nak menyatakan pendekatan populis atau tidak, ya. Kita
dalam pemerintahan ini nak jaga siapa? Nak jaga tauke besar dan kroni? Atau
nak jaga rakyat? Kita jaga semua. Jadi oleh yang demikian, saya tekankan
jumlah yang kita sebutkan 50 sen itu bukan jumlah yang keterlaluan. 50 sen
turun, langkah awal.

Memang Dato’ Shabery, dia menyentuh ... memang saya janji lebih, memang
itu saya sebut itu langkah awal. Sebab apa saya nak menyebut langkah awal,
sebab kekacauan, kemusnahan ekonomi, kerosakan akibat kenaikan mendadak
keterlaluan, kerana naik begitu mendadak keterlaluan, tidak ada yang sokong,
yang sokong hanya Ahli Parlimen Barisan Nasional. Kerana naik keterlaluan,
kita terpaksa menurunkan ikut peringkat. Saya mengambil satu pendekatan
bertanggung jawab, kalau benar populis saya umumkan saja, kita turunkan RM1
atau RM1.50, apa salahnya. Tetapi saya terpaksa mempertahankan dengan hujah
dengan angka RM2 bilion selamat dari...... saya sambung kemudian.

*PERANTARA:* Saya mempersilakan Saudara Zulkifli Sulong untuk bertanyakan
soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

*SAUDARA ZULKIFLI SULONG:* Assalamualaikum Dato’ Ahmad Shabery... Pada
tahun 2006 lalu, Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen.
Hasilnya Kerajaan telah dapat jimat kira-kira RM4.3 bilion dahulu. Kerajaan
berjanji ia akan digunakan untuk pengangkutan awam. Mengikut jawapan di
Parlimen baru-baru ini, Kerajaan baru belanjakan RM834.72 juta sahaja, untuk
prasarana pengangkutan awam sejak dari tarikh itu.

Kenapa perkara ini berlaku? Kerana dengan kenaikan ini pula, Kerajaan boleh
jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion yang kita jimatkan dahulu itu sukar
untuk dibelanjakan, sehingga kini tidak dapat nampak hasilnya tentang
pengangkutan awam yang dijanjikan. Apakah yang akan berlaku dengan
penjimatan yang agak besar yang akan kita hapuskan?

*DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK:* Terima kasih Saudara Zul. Sebenarnya Saudara
mungkin tidak ikut perkembangan harga minyak agaknya. Pada waktu itu 70
dolar, sekarang 140 dolar. Senanglah nak cakap turun, siapa pun boleh, kalau
tak memerintah. Saya duduk pembangkang mudah hendak cakap. Bagi free pun
boleh.

Tetapi kita mesti bertanggung jawab dalam soal ini. Kita tengok dalam dunia
sekarang ini pun, pertamanya kita perhatikan, dalam dunia sekarang ini,
semua negara yang murah harga minyaknya, Venezuela paling murah, 10 sen
sahaja. Saya baru ke sana minggu lepas. Tetapi inflasinya berapa? 30%, yang
terburuk dalam negara Latin Amerika. Iran inflasinya yang ke 8 terburuk
dalam dunia sekarang. Itu negara yang murah.

Kerana dalam masa yang sama kita kena ingat, bahawa harga minyak bukan
sekadar menyebabkan harga minyak sahaja naik, tetapi bukan sahaja harga
barang, tetapi termasuk krisis makanan.

Sekarang ini kalau kita tengok, negara kita mampu untuk mengatasi krisis
makanan sekarang ini malahan kalau kita tengok beras kita lebih murah
daripada beras Thailand. Ini antara bukti kemampuan kita mengatasi makanan.
Sebab itulah kita katakan bahawa ianya hanya dapat diimbangi dengan cara
sistem subsidi yang betul dan kita tidak perlu berarak di jalan raya.

Alhamdulillahlah kita dapat bersama hari ini, tidak berarak di jalan raya
atau pun buat konsert yang tidak senonoh seperti baru-baru ini. Kita dapat
berbincang dengan yang baik dalam keadaan sekarang ini.

*PERANTARA:* Sekarang saya akan minta supaya Saudara Zul menanyakan soalan
kepada Dato’ Seri Anwar, silakan.

*SAUDARA ZULKIFLI SULONG:* Dato’ Seri, bercakap soal minyak ini, ia adalah
harta masa depan kita. Seingat saya semasa Dato’ Seri menjadi Menteri
Kewangan dahulu, Dato’ Seri pernah menubuhkan Tabung Warisan. Dan apa
sebenarnya dalam pemikiran Dato’ Seri ketika itu, jika kita kaitkan dengan
isu minyak yang juga harta rakyat masa depan sekarang ini?

*PERANTARA :* Silakan.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Dua Kumpulan Wang Amanah yang penting ialah
Kumpulan Amanah Pencen dan Negara yang melibatkan kepentingan heritage.
Kerana pada masa itu kita ada belanjawan lebihan, tidak macam sekarang
deposit teruk. Masa itu kalau belanjawan lebihan, kita kumpulkan supaya kita
simpan sebahagian daripada dana yang diberikan PETRONAS dan lebihan itu
untuk masa depan Negara.

Malangnya, perkara itu tidak dikembangkan dan dana simpanan itu masih di
peringkat yang dianggap agak kecil. Tetapi dalam isu minyak ini, kita tidak
boleh kaitkan semata-mata dengan harga global. Kalau kita sebut Venezuela,
Iran, benar inflasinya agak naik sedikit, tapi kalau kita kira inflasi yang
disebut oleh Kerajaan.

Cuba pergi kedai beli ikan ke, bawang ke, ayam ke, ianya tidak naik 3%.
Angka terakhir yang disebut oleh Gabenor Bank Negara 6% lebih. Semua bank
sebut lebih 8%. Maknanya kebijakan ekonomi yang diumumkan menyebabkan
inflasi melonjak tinggi kerana kenaikan itu pada tahap yang singkat terlalu
tinggi menyebabkan kesan sampingan harga barang meningkat.

Jadi keprihatinan Pak Menteri meniaga barang di inflasi itu bercanggah
dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan. Naik minyak mendadak, inflasi
tidak akan naik. Itu teori ekonomi siapa yang mengajar begitu?

Kenaikan yang mendadak, kenaikan barang termasuk minyak bila mendadak begitu
akan membawa kesan yang parah. Kita sebut harga minyak global, memang benar.
Harga minyak global meningkat tinggi tetapi setiap 1 dolar Amerika naik
dengan pengeluaran minyak di Malaysia, kita peroleh RM360 juta.

Jadi naik harga minyak itu pulangan besar kepada kita. Ini hendak
merunsingkan orang kampung, harga minyak global naik, di London, di Paris,
di China, di India naik. Kita pengeluar minyak, memang naik berbanding 10
tahun lalu, tetapi tidak boleh bebankan rakyat dan yang saya nak tekankan
sekarang ini, kenaikan begini menyebabkan ekonomi kian meleset.

*PERANTARA:* Saya mempersilakan Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi untuk
menanyakan soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

*TAN SRI DATUK DR NORDIN KORDI:* Tadi saya telah menanyakan komitmen Dato’
Seri Anwar tentang adakah premis kepada penurunan harga minyak 50 sen itu
kerana Malaysia adalah pengeluaran minyak. Selepas kita bacakan data bahawa
sumbangan minyak dalam negara hanya 26%. Saya melihat bahawa isu yang
dicadangkan oleh Dato’ Seri Anwar bukan isu minyak lagi tetapi memilih
minyak sebagai sasaran untuk dikurangkan kepada 50 sen.

Tetapi mengapa tidak misalnya oleh kerana ia bukan semata-mata isu minyak
bercakap mengenai pengurangan cukai seperti mana Kerajaan telah tidak
mengenakan cukai kepada mereka berpendapatan di bawah RM2,000, mengapa tidak
misalnya memberi bantuan sewa rumah kepada mereka yang miskin tinggal di
bandar, tetapi mengapa memilih minyak, mengapa agaknya Dato’ Seri Anwar
tidak berjanji untuk mengurangkan inflasi seperti katanya 80% kepada 30%.
Jadi soalan saya kepada Dato’ Shabery ialah mengapa agaknya Dato’ Seri
memilih minyak sebagai sasaran janji kepada rakyat apabila memerintah esok.
Terima kasih.

*YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK:* Saya rasa soalan ditanya kepada saya
kerana merasakan banyak premis yang salah tadi. Kita bercakap tentang kita
ini sebagai negara pengeluar minyak. Saya hendak tanya, kita ini negara
pengeluar minyak nombor berapa dalam dunia? nombor 1 hingga 20? Kita nombor
berapa?

Tidak masuk pun. nombor 21 pun tidak. Kita kecil, jangan bandingkan dengan
Arab Saudi, jangan bandingkan dengan Venezuela, jangan bandingkan dengan
Iran, jangan banding dengan tempat lain. Kita kecil sangat, itu pun minyak
kita telah diambil 100 tahun lamanya dan kita telah sampai ke peringkat
penghujung. Kita masih nett exporter tetapi nett exporter yang kecil. Kita
kena tahu dalam soal ini.

Dan kemudiannya dari segi keuntungan daripada minyak kita tidak benar tadi,
sebenarnya hanya 26% daripada keuntungan yang disebabkan oleh PETRONAS hari
ini, 26% hasil daripada minyak dalam negeri yang lain itu adalah pelaburan.
Kalau kita kata tahun 2015 nanti waktu kita sudah tidak ada minyak, apakah
waktu itu kita telah menjadi nett importer pada waktu tersebut. Apakah pada
waktu itu kita baru hendak mengikut harga dunia, kalau orang hendak jual
minyak pada kita waktu itu.

Kalau tidak jual bagaimana? Sebab itulah tanggung jawab PETRONAS dengan
keuntungan yang ada walau sudah banyak diberikan kepada negara sepatutnya
cari minyak di luar negara dan terima kasih di bawah Dato’ Seri Mahathir
misalnya, sampai ke 33 buah negara yang dia terokai, PETRONAS kita sehingga
kita menjadi salah sebuah negara yang mempunyai sebuah syarikat minyak
antara yang ternama dalam dunia sekarang ini. Sebab itulah kita rasakan
jangan menyebabkan PETRONAS menjadi lebih miskin dalam soal ini. Kita
mestilah realistik, minyak kita bukanlah minyak yang banyak sangat, mungkin
minyak urut, minyak atar tidak tahulah dalam soal ini.

*PERANTARA:* Terima kasih, kita akan pergi kepada soalan cepumas. Saya akan
minta Dato’ Seri Anwar menanyakan satu soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery
dan kemudian Dato’ Ahmad Shabery akan menanyakan satu soalan kepada
Dato’ Seri Anwar. Saya mulakan dengan Dato’ Seri Anwar menanyakan soalan
kepada Dato’ Ahmad Shabery.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM* : Saudara Shabery, siapa yang bandingkan
Malaysia dengan Venuezela dan Iran? Harganya 10 sen, 15 sen, 16 sen?
Soalnya, kita bandingkan Malaysia sebagai negara pengeksport minyak, dan
kita telah bagi perkiraan bahawa kenaikan yang mendadak itu membebankan
rakyat dan menyebabkan kemerosotan, kemelesetan ekonomi negara.

Jadi kalau ini diketahui, mengapa Kerajaan setelah berjanji untuk tidak
menaikkan minyak sebelum pilihan raya, dalam tempoh beberapa bulan sahaja
telah memungkiri janji, mengkhianati janji dan menaikkan harga minyak yang
membebankan rakyat dan mengatakan kita ambil dari dana PETRONAS? Siapa yang
kata kita ambil dari dana PETRONAS? Saya kata kita jimatkan belanja, kita
betulkan perjanjian kita dengan IPP dan kapasiti lebihan dan kita ambil dari
dana Kerajaan yang bocor begitu banyak termasuk rasuah yang disebut Morgan
Standly kehilangan RM300 bilion dan RM10 bilion.

Jadi saudara, saya cuma hendak sebutkan begitu, mengapa gunakan media
termasuk media rasmi sebagai amanah memutar belitkan kenyataan kita?
Kenyataan kita ialah mengapa kenaikan yang begitu mendadak dan membebankan?
Dan mengapa kita tidak boleh mengurus sumber khazanah yang kita miliki untuk
meringankan bebanan rakyat dan memajukan pertumbuhan ekonomi dengan
meyakinkan?

*PERANTARA:* Terima kasih, saya minta Dato’ Ahmad Shabery jawab.

*YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK:* Saya kira ini sekali lagi ucapan yang
populis sifatnya. Seolah-olah menafikan bahawa segala-galanya dikaitkan
bahawa punca kenaikan harga minyak kita ini kerana tidak ada penjimatan dan
soal rasuah dan sebagainya.

Ini boleh kita terima sekiranya kenaikan harga minyak negara kita adalah
sesuatu yang terpencil daripada negara lain. Seolah-olahnya Saudara Anwar
menafikan bahawa seluruh dunia berhadapan dengan soal harga minyak yang
tinggi sekarang ini, seolah-olah dikatakan bahawa minyak mahal di Malaysia
sahaja.

Ini sama saya katakan seperti dalam tahun 1974 dahulu, Saudara menggerakkan
MASSA, menggerakkan mahasiswa mengatakan orang kaya raya, orang miskin papa
kedana. Sedaplah kita bercakap waktu itu, bercakap tentang orang Baling pada
waktu itu. Tetapi pada waktu yang sama kita rasakan bahawa

Saudara Anwar waktu berada dalam Kerajaan, tidak selesai pun tentang soal
orang di Baling. Bercakap mudah dalam soal ini, sebab itulah sebahagian
daripada masalah yang kita ada, soal IPP ialah semasa zaman Saudara Anwar
berada dalam Kerajaan. Susah kita hendak ubah kontrak-kontrak yang ada
sekarang ini kerana antara kontrak itu dipertahankan semasa Saudara Anwar
berada dalam Kerajaan.

Saudara Anwar kata media suka memutar belitkan. Saya rasakan sekarang ini
tidak pernah berlaku kalau Saudara Anwar berada dalam Kerajaan diberi
peluang yang begini kepada seorang pemimpin pembangkang. Saya rasakan bahawa
kalau mengikut cara Saudara Anwar sewaktu menyelesaikan masalah krisis
kewangan tahun 1997, memilih cara yang digemari oleh IMF.

Pada waktu itu yang menjerut rakyat dan tidak pernah pun di cakap kita
membuat tentang kepentingan rakyat, kadar bunga yang dinaikkan dengan cara
yang cukup tinggi pada waktu itu, NPL dipanggil daripada enam bulan kepada
tiga bulan, ramai peniaga kecil SME dan sebagainya bankrap disebabkan oleh
Saudara Anwar.

Kita bercakap mudah bila kita di luar, tetapi hakikat yang sebenarnya tidak
semudah dapat kita hayati dalam keadaan yang sebenarnya dalam negara kita
pada hari ini. Tetapi percayalah sebagaimana yang saya katakan tadi, dalam
kesusahan yang ada sekarang rakyat cukup makan.

Kalau disebutkan tentang soal kebocoran dan sebagainya, kita cubalah lihat,
Saudara Anwar cubalah lihat bandingkan statistik yang ada sekarang ini,
semua negara-negara yang dianggap murah minyaknya juga mengalami keadaan
inflasi yang tinggi kecuali boleh dibuktikan satu negara yang memberikan
subsidi yang tinggi, inflasinya tidak berlaku, tunjuk dan buktikan, Iran,
Venezuela, Saudi Arabia, Qatar semua ini negara-negara minyaknya tetapi
inflasinya adalah jauh lebih tinggi daripada Malaysia.

Sebab itulah saya katakan bahawa jangan kita sempitkan pemikiran kita dalam
mengelirukan rakyat semua.

*PERANTARA:* Sekarang, saya mempersilakan Dato’ Ahmad Shabery mengajukan
soalan kepada Dato’ Seri Anwar.

*YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK:* Soalan saya mudah sahaja. Kalau kita
mengajar rakyat kita dengan harga yang murah walaupun pada hakikatnya harga
minyak antarabangsa adalah tinggi, tahun 2015 kita akan menjadi nett
importer. Mungkin beberapa tahun lagi kita tidak akan ada minyak lagi.
Apakah subsidi begini akan diteruskan? Atau pada waktu itu baru nak naik
mendadak serta merta daripada apa yang ada sekarang?

*PERANTARA:* Silakan Dato’ Seri Anwar.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Ya, terima kasih. Sekurang-kurangnya, soalan
itu tadi kembali kepada mauduk. Yang lain itu, soal demonstrasi 1974 belum
habis demam pun lagi.

Saudara, siapa yang bagi angka kata ada deflation? Ada kehausan sumber
minyak pada 2015? Cuba kalau baca betul-betul laporan PETRONAS. Disebut,
mengikut perkiraan sekarang, seandainya 10 tahun dari sekarang tidak ada
sama sekali telaga minyak yang baru, maka ..., bacalah bagi habis. Maknanya,
kapasiti tidak terencat.

20 tahun yang lalu atau 30 tahun yang lalu, kapasiti kita berakhir pada
2005. Keadaan itu berkembang. Baiknya PETRONAS ini, kerana dia tidak hanya
memilih untuk cari gali dalam negara. Dia pilih luar negara untuk mencari
sumber yang lain. Sebab itu, saya pertahankan PETRONAS.

Yang saya kritik ialah Kerajaan Barisan Nasional. Dia ada beza. Jadi, kalau
Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Parlimen pun tak faham, problem kita...
Soalnya, sekarang, kita bincang minyak. Tapi, pengurusan Kerajaan,
kebocoran. Saya boleh bagi contoh, bukan saya bagi perkara yang tidak
bertanggungjawab. Betul, IPP itu diluluskan di zaman saya menjadi Menteri
Kewangan. Tapi, saudara harus honest to the truth.

Jangan bohong. Saudara boleh semak rekod. Semak surat Tan Sri Ani Arof,
Pengerusi TNB. Dia pertahankan keputusan Kementerian Kewangan, dia
bercanggah dengan EPU dan keputusan Perdana Menteri pada ketika itu.

Saya mempersilakan Saudara semak balik. Kita tidak bersetuju dengan harga
yang ditetapkan. Itu sebabnya, mengapa Tan Sri Ani Arof meletakkan
jawatannya sebagai Pengerusi TNB. Betul. Tetapi, tak mengapalah. Dato’
Shabery kata Anwar salah. Tetapi, tahun 1990. Dan kamu buat apa tahun 2008
ini? Sekarang ini, dalam keadaan permulaan perjanjian IPP, rizab kapasiti
10, 15 tahun dulu, sekarang, kita teliti balik.

Untung IPP ini berbilion dan PETRONAS itu kerugian, termasuk TNB kerana
beban perjanjian IPP. Sebab itu harus diteliti semula. Saya menganggarkan,
kalau diteliti semula selain RM2 bilion rizab kapasiti kita boleh jimatkan
RM1 bilion lagi. Dari kadar RM3 bilion, kita hanya perlu RM2 bilion.

Tengok, bagaimana Kerajaan uruskan pembelian diesel. Diesel yang bocor,
penyeludupan, dan penyelewengan, berapa? RM700 juta setahun. Kemudian,
Kerajaan tubuh syarikat kroni, Teras Kimia, RM117 juta. Sudahlah rugi RM700
juta, ambil syarikat geng dia, bantu pula RM100 juta. Rakyat? Jadi, ini
sebab Saudara, saya minta dengan baik, ikhlas, betulkan ini. Kalau kita
dapat jimatkan yang ini, setiap proses satu persatu, kita boleh jimatkan.
Ini disebut tiris dan bocor. Sekiranya ini dapat dilakukan, kita lihat ini
dari segi kerangka ekonomi makro keseluruhannya.

Saudara boleh bangkitkan, umpamanya, ini pendekatan naik minyak mendadak,
cadangan siapa? Ini preskripsi IMF World Bank. Dan beri satu contoh. Jangan
guna ini sebagai istilah politik biasa. Saya sedia tepat, soal krisis
ekonomi 1997, 1998 dengan pakar ekonomi lain pun tak apa. Tetapi, dengan
syarat, bagi ruang. Bahawa adalah satu fitnah besar seperti fitnah
berterusan terhadap saya bahawa kita tunduk kepada prinsip IMF.

Saudara, tidak mengapa. Soalnya sekarang, kita beri satu kebocoran yang saya
sebutkan tadi. PETRONAS umumkan, ada dividen khas selain daripada beberapa
bilion tadi ni, dividen khas tahun ini kepada Kerajaan sebanyak RM6 bilion.
Tak bolehkah saya ambil RM1 bilion untuk tampung, supaya kos minyak turun 50
sen?

Apa, bagi Ahli-ahli Yang Berhormat, berat sangat ke? Allah, bagaimanakah,
takut bayangkan Kerajaan nak bagi RM1 bilion. RM1 bilion, untuk redakan
masalah ini. Saudara percayalah, dua bulan, tiga bulan sekarang. Ini bukan
soal penangan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat satu wadah. Ini soal, rakyat.
Kalau kita nak teruskan kebijakan ekonomi, sekarang ini, apa yang akan
berlaku ialah kemelesetan, pengangguran yang sekarang setengah juta akan
mencecah hampir 1 juta orang. Ini beban kepada rakyat.

*PERANTARA:* Terima kasih, Dato’ Seri. Saudara penonton yang saya hormati
sekalian. Demikian tadi berakhirnya segmen yang kedua dalam perbincangan
kita pada malam ini. Kita akan bertemu lagi selepas pesanan iklan ini.
Jangan ke mana-mana.

*PERANTARA:* Saudara penonton yang saya hormati sekalian, saudara sedang
mengikuti Debat AgendaDaily. Dua pendebat yang di undang ialah YB Dato’
Ahmad Shabery Cheek dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Judul perdebatan kita
pada hari ialah ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’.
Kita sampai kepada pusingan yang kedua terakhir. Saya akan mengemukakan
soalan ini, pertama kepada Dato’ Seri Anwar dan kemudian akan dijawab oleh
Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Soalan saya ialah, Dato’ Seri, rasanya tidak perlulah jadi Perdana Menteri
untuk membantu meringankan beban rakyat. Kenapa tidak sumbangkan idea bernas
untuk tujuan itu pada masa ini. Tanpa perlu, misalnya cakap-cakap mengenai
menukar Kerajaan. Silakan.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Terima kasih. Ini yang sebab saya ikut serta
ni. Saya bukan Perdana Menteri, bahkan nasib saya satu dua hari ini, belum
tentu ke mana. Tetapi saya memilih untuk hadir kerana saya rasa, Kerajaan
juga, kawan-kawan saya dalam UMNO dan Barisan Nasional harus beri peluang
untuk dengar.

Ini bukan satu soal yang partisan hanya khusus untuk Pakatan Rakyat. Kalau
cadangan ini diterima dan dilaksanakan, kita akan menyokong tindakan mereka.
Tetapi soalnya sekarang ialah apakah ada kesediaan pemimpin-pemimpin
Kerajaan dengar dan cuba melaksanakan.

Saudara Johan, Profesor Arif, MIER, umpamanya menyebut, Februari 2006 naik
30 sen, inflasi bulan berikutnya 4.8%. Sekarang naik mendadak, belum sempat
satu bulan, naiknya 8%. Jadi jangan sibuk perhati di Iran dan Venezuela,
kita pun sudah menuju cepat ke arah itu. Bezanya dia harga minyak rendah,
inflasi tinggi.

Kita, harga minyak tinggi, inflasi lagi tinggi. Ini bukan boleh sudah
dikatakan populis atau tidak, saya bimbang kerana, kalau kita tidak membawa
arah baru dalam pengurusan ekonomi negara, lebih baik, lebih mendekati
prinsip ekonomi pasaran, lebih meyakinkan dengan pengurusan yang cekap,
lebih bersih kepada daripada kebocoran, ketirisan dan rasuah. Lebih
menghormati rule of law dan negara hukum. Ini semua akan menjejaskan.

Kita tewas dengan persaingan kita, dengan banyak negara. Jangan banding
dengan Somalia dan Zimbabwe. Bandingkan dengan negara-negara yang dulu kita
setara. Singapura, Taiwan, Korea Selatan dan negara di ASEAN sendiri.
Mengapa kita tewas? Dari segi pelaburan asing, dari segi daya saing. Ini
semua ada kesan bila kita ambil apa-apa kebijakan ekonomi.

Saya masih yakin, Malaysia dengan kekuatan yang ada, sumber, termasuk
kekuatan dari minyak dari petroleum, itu mempunyai potensi yang besar.
Dengan syarat pengurusan Kerajaan itu cekap dan bersih dan sedia mendengar
dan mengorak cepat untuk bersaing dengan negara-negara lain.

*PERANTARA*: Terima kasih Dato’ Seri. Silakan Dato’.

*DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK:* Ya. Kalau tadi IPP dia salahkan Dr Mahathir,
tapi selepas itu saya pernah mendengar Saudara Anwar cakap, Dr Mahathir
pemimpin yang paling hebat. Pernah dia kata, kalau boleh dipintal awan di
langit, akan ku pintal dengan nama Dr Mahathir dan Siti Hasmah pada waktu
itu.

Ada orang kalau dia tak setuju, dia letak jawatan pada waktu itu. Tapi kalau
saya katakan populisnya begini. Kalau sebelum pilihan raya, dia katakan
bahawa, kalau memerintah sebelum pilihan raya nak turun bawah daripada
RM1.92. Sepatutnya tidak timbul sekarang ini nak bercakap di bawah 50 sen
sahaja daripada harga yang ada sekarang.

Kita mesti kembali pada asas. Ucapan ini dibuat berasaskan kepada ucapan
sebelum pilihan raya. Sebelum pilihan raya. Kalau langkah awal, langkah
seterusnya semakin murah semakin murah, di waktu harga minyak semakin mahal
semakin mahal. Apakah kita bercakap harga minyak di Malaysia semakin murah
semakin murah ertinya kita akan membebankan Negara dengan subsidi yang lebih
tinggi dan ini sama sekali bertentangan dengan mana-mana prinsip ekonomi
yang sihat.

Kalau kita tidak mengikut prinsip ekonomi yang sihat, kita akan menyebabkan
Negara kita akan terus dibebankan dengan beban baru. Adakah kita hendak
berhutang selepas ini? Dan kalau kita berhutang, dengan siapa kita hendak
berhutang?

Kalau tidak dengan peminjam-peminjam atau ‘ah long-ah long’
antarabangsa. Sebab itulah kalau dikatakan tentang menggunakan wang
PETRONAS, misalnya. Tahu tidak, daripada apa yang Kerajaan dapat sekarang
ini, sebenarnya daripada keuntungan PETRONAS Berhad. Jangan kita cakap
tentang PETRONAS Group atau Kumpulan PETRONAS yang termasuk Cari Gali,
PETRONAS Dagang dan sebagainya yang melibatkan saham-saham orang lain.

Daripada keuntungan PETRONAS itu, sebenarnya yang telah diberi kepada
Kerajaan ialah sebanyak 91% telah diberikan. Apa lagi yang hendak kita ambil
dari PETRONAS selepas ini? Dan kita kena ingat bahawa PETRONAS kuat dan maju
sekarang ini dan selama ini, kerana siapa? Kalau tidak kerana Kerajaan UMNO
dan Barisan Nasional.

Apakah kita hendak nafikan kehebatan yang dibuat oleh PETRONAS selama ini
adalah kerana dorongan yang diberikan oleh Kerajaan. Kita tidak bebankan
PETRONAS, kita benarkan PETRONAS untuk melabur kembali dan kita tidak
mengambil segala-galanya yang ada pada PETRONAS.

Kalau dikatakan penyalahgunaan kuasa, selalu saya beritahu tadi, ianya kalau
kita terpisah daripada negara-negara lain hanya negara kita saja yang
minyaknya naik, boleh kita katakan demikian. Tetapi kita menerima realiti
dan hakikat, masalah ini adalah masalah global yang tidak boleh kita lari.

*PERANTARA:* Kita sampai kepada pusingan akhir, saya mempersilakan Dato’
Seri Anwar untuk membuat penggulungan. Kita ada waktu yang cukup terbatas,
kira-kira satu setengah minit. Silakan.

*DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:* Terima kasih. Di antara negara pengeksport
minyak, harga minyak di Malaysia keterlaluan tinggi. Itu faktanya. Tidak
saya mahu bandingkan dengan Venezuela. Itu yang pertama.

Kedua, harga minyak memang tidak menentu. Tetapi berapa ramai kajian dan
pakar minyak menyebut sudah ada break point. Atau besar kemungkinan harga
minyak itu menetap dan mula menurun.

Ketiga, kita mengemukakan cadangan ini, gagasan ini dengan penuh tanggung
jawab. Kerana kita mahu ekonomi kita kukuh, kerana saya yakin di bawah
pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, belum tentu sampai bila, kalau
diteruskan dengan dasar yang ada sekarang, dalam tempoh dua bulan atau tiga
bulan lagi, kedudukan ekonomi kita akan jauh lebih parah daripada kedudukan
yang parah sebelumnya. Ini kenyataannya. Saudara tidak setuju, tidak apa.

Tapi saya minta teliti dengan baik dan objektif. Sebab itu saya komited,
Insya Allah, kita dalam Pakatan Rakyat akan terus menjelaskan kepada rakyat
dan saya sebab itu, saya tidak mahu hak saya dinafikan dan untuk meneruskan
agenda ini walaupun Saudara Shabery memilih untuk menyerang secara peribadi,
saya tidak mahu jawab. Kerana ini bukan ruangnya. Kerana ruang dia di RTM
masih banyak lagi.

Dan saya tidak mempunyai ruang selepas ini. Tetapi percaya, fitnah ke,
khianat ke, ada batasnya. Saya diberikan sebaik ada pilihan, Insya Allah
saya akan bertanding dalam pilihan raya dalam masa sesingkat yang mungkin.

*PERANTARA:* Saya minta Dato’ Ahmad Shabery.

*YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK:* Percayalah. Kalau kita perhatikan bahawa,
Saudara Anwar tidak berubah seperti dulu. Dalam sejarah yang banyak memberi
sumbangan kepada Negara untuk membina PETRONAS daripada apa yang ada
sekarang, sebaik-baiknya kepada satu syarikat yang mencapai tahap yang
begitu tinggi sekali.

Kalau dahulu, orang yang membina PETRONAS seperti Tun Razak, sudah
ditentang. Tun Mahathir yang mengembangkan PETRONAS sampai ke peringkat
dunia, ditentang juga. Kita selalu sebutkan bahawa pada waktu sekarang Pak
Lah tidak mengambil lebih daripada apa yang sepatutnya. Maka tidak ada sebab
untuk kita menentang.

Dan apakah kita nak sekarang ini, dalam keadaan sekarang ini, kita terus
hendak mainkan sentimen-sentimen mengajak orang ke jalan raya sebagaimana
yang dibuat dalam tahun 1974 dahulu, akan menyelesaikan masalah kita. Dan
kita ingat, kalau ingin kita terus menyebabkan menekankan supaya wang yang
banyak diambil daripada PETRONAS misalnya, untuk membantu mensubsidi negara
kita, maka kita akan katakan bahawa kita membenarkan ia menjadi semakin
miskin dan mungkin kita hendak membenarkan orang lain akan mengambil
PETRONAS satu masa nanti.

Percayalah dalam soal ini, kita lihatlah dalam negara-negara lain, Malaysia
adalah negara yang terbaik. Growth atau pertumbuhan kita kekal ke angka 6%
setahun lebih baik daripada banyak negara yang ada di sekitar sini. Saya
percaya, bahawa perdebatan sebegini rupa adalah bukti keterbukaan Kerajaan
kita yang ada sekarang yang tidak mungkin diperoleh sewaktu Saudara Anwar
menjadi Timbalan Perdana Menteri, satu ketika dahulu.

*PERANTARA:* Terima kasih Dato’ Ahmad Shabery. Demikian tadi saudara
penonton yang saya hormati sekalian, berakhirnya Debat AgendaDaily dengan
membawa tajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan
Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan
yang bersedia berdebat dengan isu ini. Kepada kedua-dua wakil pendebat Tan
Sri Datuk Dr Nordin Kardi dan Saudara Zulkifli Sulong, saya ucapkan terima
kasih. Semoga kita mendapat manfaat dengan pertemuan ini. Saya akhiri dengan
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat malam.

No comments: