Tuesday, September 16, 2008

Tetap Pendirian..Tetap Iman..

Dalam kita menjalani tugas seharian, sememangnya pelbagai dugaan dan cubaan akan cuba menghimpit kita daripada melaksanakan amanah yang diberi kepada kita. Kadangkala apa yang berlaku mungkin tidak seperti kita hajati. Kadangkala beberapa keputusan yang dilakukan tidak menepati prinsip perjuangan kita. Namun, demi 'survival' bangsa dan agama kita, adakalanya kita terpaksa melakukan suatu pendekatan yang drastik dan kadangkala agak ekstrim. Namun, segala tindakan tersebut telah diberi pertimbangan yang cukup mendalam dari semua aspek sebelum ianya dilaksanakan.
Janganlah kita melatah apabila menghadapi dugaan sebegini. Tetapkanlah pendirian dan iman kita. Janganlah kita memporak-porandakan keadaan semata-mata untuk kepentingan peribadi dan prinsip individu kita.

Saturday, September 13, 2008

Malaysia Day

Selamat menyambut hari ulangtahun Malaysia ke 45 tahun esok. Sememangnya tanggal 16 september 1963 akan sentiasa kita ingati sebagai suatu hari yang bersejarah dan penting untuk negara kita. Pada hari tersebut, penyatuan Malaya, Singapura Sabah dan Sarawak telah membuka lembaran baru dalam sejarah dunia. Walaupun pada awal penubuhannya kita mengalami berbagai tekanan dan serangan serta kejutan politik namun kita berjaya mengharunginya hingga pada hari ini, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sangat pesat membangun dan telah menjadi negara contoh dari segi sistem pentadbiran dan pengurusan ekonomi oleh beberapa buah negara lain.
Selamat Ulangtahun ke 45...Malaysia.

Friday, September 12, 2008

mat jenin

Suatu petang mat jenin memanjat pokok kelapa, dia pun teringat cerita isterinya tentang kejayaan pak padir meniaga ikan masin. Lalu mat jenin pun ada idea. "Aku pun boleh berjaya macam engkau pak pandir". Lalu mat jenin pun mendongak ke atas dan terlihat banyak kelapa muda bergantung di atas. "hah! aku dah dpt. Mula-mula aku jual semua kelapa muda dan hasilnya aku akan beli anak ayam. Bila dah besar kelak tentu banyak telur yang akan aku dpt. Pas tu dengan duit telur yang byk aku akan sepasang anak kambing. Bila dah besar nanti pasti dpt byk anak-anak kambing. Dptlah aku untung besar. Lepas tu aku akan jual semua kambing dan beli sepasang lembu. Bila lembu beranak dan beranak tentulah aku dpt untung besar. Aku akan jual semua lembu aku dan aku dapat merasuah semua penduduk kampung ini supaya melantik aku jadi penghulu kampung. Bila dah jadi penghulu nanti, dapatlah aku buat sesuka hati aku. Semua tanah-tanah kosong di kampung ini akan jadi milik aku. Pas tu aku jual lah semuanya. Ha..ha..ha..Jadi Mr Jutawan Mat Jenin lah aku..." Mat Jenin sangat teruja sambil bertepuk tangan....
BEGITULAH CERITA ALMARHUM MAT JENIN...

Wednesday, September 10, 2008

Mengapa kita perlu menjaga perpaduan kaum?

Sejak kebelakangan ini, kita dapati beberapa ahli politik kita khasnya yang mewakili Barisan Nasional telah memainkan sentimen perkauman di dalam ucapan-ucapan mereka demi untuk meraih populariti diri. Tidakkah mereka sedar bahawa rakyat sedang membuat penilaian terhadap mereka dan parti politik yang mereka wakili. Perbuatan yang tidak beretika ini sangat menguntungkan pihak lawan. Ibarat ibu ketam mengajar anak berjalan, ahli-ahli politik ini asyik mengatakan bahawa parti lawan tidak relevan, sedang berlaku pergolakkan dalaman dan banyak lagi. Walhal, parti mereka sendiri lagi lah teruk. Insaflah wahai ahli-ahli politik Barisan Nasional, buang yang keruh ambil yang jernih; sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna; terlajak perahu dapat ditarik, terlajak kata buruk padahnya. Saya menyeru anda semua untuk membaca petikan di bawah yang dipetik dari Portal Pendidikan Utusan hari ini.

"Kita percaya rakyat negara ini sudah faham dan terima kepentingan perpaduan kaum untuk keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Namun begitu, kadangkala kita menganggap perpaduan kaum merupakan suatu keadaan yang wujud dengan sendiri tanpa usaha hingga lupa adanya ancaman terhadapnya.

Sebab itu kita perlu mengambil perhatian terhadap isu-isu yang boleh membangkitkan sentimen perkauman dan seterusnya mampu menjadi ancaman kepada semangat muhibah serta keharmonian di negara ini.

Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh mengutarakan isu-isu penting yang memerlukan pembetulan dan langkah-langkah bagi mengatasinya. Tetapi apa yang penting adalah cara dan sikap dalam menangani sesuatu isu supaya ia tidak berbau perkauman.

Dalam hal ini, kerjasama semua pihak dari pelbagai kaum perlu menjurus kepada memelihara perpaduan dan mengelak diri daripada memburukkan lagi hubungan antara kaum.

Umpamanya dalam isu pengasingan pelajar mengikut kaum baru-baru ini. Sememangnya kita kesal sekiranya perkara ini benar-benar berlaku. Tetapi kita lebih kesal jika pendekatan yang dibuat dalam menangani masalah ini adalah cara mengeksploit sentimen perkauman.

Ia harus dilihat dari sudut pendidikan dan bukannya perkauman. Elemen kebetulan juga harus diambil kira. Tetapi di atas segalanya ialah sikap jujur kita dalam memelihara perpaduan kaum. Janganlah hendaknya kita mempunyai sikap buruk sangka yang begitu menebal hingga apa yang kebetulan dilihat pula sebagai tindakan perkauman.

Begitu juga dengan isu pengubahan nama jalan di Ipoh tidak lama dahulu. Jika perkara itu tidak ditangani dengan jujur, ia boleh menjadi satu lagi sentuhan emosi perkauman. Apa yang kebetulan juga menjadi isu perkauman.

Justeru, kita dapat lihat bahawa perpaduan kaum tidak boleh dipandang sebagai keadaan semula jadi. Kita, seluruh rakyat Malaysia harus bersama memelihara dan memupuk perpaduan kaum.

Maka dalam hal ini, acara seperti Rumah Terbuka Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri merupakan peristiwa positif yang dapat turut memupuk perpaduan kaum.

Melihat 100,000 orang pengunjung membanjiri Rumah Terbuka Malaysia, kita merasa optimis bahawa masa depan perpaduan kaum di negara ini adalah cerah dan memberangsangkan.

Maka adalah wajar bagi kerajaan untuk meneruskan tradisi rumah terbuka kebangsaan ini bukan saja untuk Hari Raya tetapi juga untuk lima perayaan utama lain iaitu Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

Tradisi ini akan membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia hidup dalam penuh muhibah dan harmoni dengan semangat toleran dan saling hormat-menghormati di antara kaum-kaum yang berbeza.

Namun begitu, acara ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memelihara dan memupuk perpaduan kaum secara menyeluruh.

Di peringkat masyarakat, ia harus diperluaskan melalui acara-acara peringkat setempat supaya perpaduan kaum benar-benar wujud dan bukan semata-mata dalam acara-acara formal saja.

Tetapi di atas segalanya ialah kesedaran dan sikap setiap individu warganegara Malaysia yang insaf bahawa kemakmuran negara amat bergantung kepada keutuhan hubungan antara kaum.

Dalam tindakan seharian, semangat perpaduan ini hendaklah diambil kira kerana ia menentukan survival negara."

Salam...

Sunday, September 7, 2008

Melayu lupa diri spt kacang lupakan kulit

Ramai di kalangan orang-orang Melayu PAS dan PKR yang kini mewah dan hebat diibaratkan seperti kaduk naik junjung. Setelah masing-masing berjaya masuk universiti, berpendidikan tinggi, kerja hebat-hebat dan kemudian hidup senang terus tidak mahu menghargai jasa pihak kerajaan BN serta Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional yang telah membantu mereka dari segi peluang, kewangan dan sokongan untuk hidup maju di Tanah Melayu ini.

Melayu cepat lupa diri ? Ya, tindakan beberapa pemimpin Melayu parti PKR dan PAS seperti Tan Sri Khalid Ibrahim dan Mat Sabu (tidak termasuk lagi orang-orang Melayu PKR dan PAS yang turut sama mengutuk) yang dengan selamber mengeluarkan kenyataan membangkang dan memperlekehkan manafaat DEB dan sebaliknya menuduh DEB hanya semata-mata mengenyangkan perut kroni-kroni UMNO adalah golongan Melayu yang tidak bersyukur. Semata-mata ingin mengampu dan memenangkan ‘kawan karib’ mereka Lim Guan Eng (DAP Penang ) yang tegas mahu menghapuskan fungsi keistimewaan Bumiputera melalui DEB di Pulau Pinang.

Gunakan akal. Semenjak mula-mula agenda DEB dirancang dan diimplementasikan sekian lama dahulu, berapa ramai anak-anak Melayu tanpa mengira PAS atau UMNO telah diterima masuk ke dalam Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh, Kolej Matrikulasi, Kementerian Pendidikan dan UiTM sehingga sekarang. Berapa ramai pula anak-anak Melayu yang memasuki IPTA atau IPTS dalam dan luar negara yang diberi biasiswa penuh MARA dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Malang sekali apabila sudah graduan, sudah berkerjaya, anak-anak Melayu ini menafikan mereka pernah dibantu kerajaan dan menidakkan bahawa segala yang dicapai mereka bukan atas sokongan Dasar Ekonomi Baru.

Fikirkan lagi. Apakah semua kakitangan professional kerajaan, kakitangan PETRONAS, MARA, TELEKOM, TNB sekarang ini adalah orang-orang UMNO semuanya? Tidak masuk akal bukan ? Kalau benar-benar disoal-selidik, entah berapa ribuan kakitangan professional organisasi-organisasi tenama ini adalah penyokong-penyokong PKR dan PAS yang seringkali mengutuk dan mengumpat kerajaan BN di belakang-belakang. Nampakkah anda gambarannya ?

Jika orang-orang Melayu sebeginilah, yang kini sedemikian berjaya, sekarang menidakkan pula jasa-jasa kerajaan BN terhadap mereka dan memperlekehkan manafaat DEB kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera. Mereka ini adalah golongan-golongan yang tidak tahu berterima kasih. Kalau beginilah dasar ‘tidak berterima kasih’ mereka, maka amat wajar mana-mana pengikut PKR atau PAS yang kini menjadi pensyarah di UiTM (Universiti Tolong Melayu) dan UUM (Universiti UMNO) segera dikeluarkan dari perkhidmatan mereka.Begitu juga dengan PETRONAS, keluarkan sahaja mana-mana kakitangan Melayu yang menyokong PKR atau PAS. Tidakkah mereka sedari bahawa, jika tidak kerana bantuan secara langsung dan tidak langsung kerajaan BN dan DEB, orang Melayu seperti mereka tidak mungkin akan berada ke tahap itu ? .."Melayu Mudah Lupa" (Tun Mahathir).

manusia mudah berubah..parti politik pun sama..

Manusia mudah berubah. Politik juga mudah berubah. Dahulunya, PAS bersikap amat keras dengan dasar 'Negara Islam' nya yang mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih Islamik. UMNO dilabel sebagai munafik, kafir dan dimusuhi. Sekian lama PAS berjuang dengan caranya tersendiri dan memandang sepi DAP, sehinggalah wujudnya PKR yang diibaratkan sebagai perantara dan penyatu di antara mereka.

Di antara parti politik yang wujud di Malaysia, PAS adalah yang paling jelas dengan pegangan 'theologikal' nya iaitu perjuangan pemerintahan kerajaan berasaskan dan berkonsepkan agama; Islam. Sudah tentu, soal siapa yang harus mengepalai negara tidak perlu dipersoal lagi ? Kita sudah tahu jawapannya. PAS pasti mahukan Islam menguasai pemerintahan dan pastinya bakal perdana menteri yang paling layak bagi PAS adalah salah seorang dari alim ulama' mereka. Berkenaan kerajaan dan negara yang berasaskan agama, sudah pasti PAS tiada kompromi meletakkan Islam sebagai agama pendasar utama negara. Walaupun DAP, rakan pakatannya lantang bersuara dengan konsep 'Malaysian Malaysia' nya. Perjuangan demokrasi tulen DAP ini berkemungkinan besar tidak akan mampu melangkah jauh kerana batasannya sudah ditetapkan awal oleh rakan juangnya sendiri, PAS iaitu Malaysia mesti diterajui oleh pemimpin Islam dan Islam tetap dasar utama kerajaannya.

Bagi DAP, demokrasi tulen adalah sepertimana maksudnya yang sebenar; hak yang sama rata di dalam pendidikan, ekonomi dan politik tidak mengira jantina, kaum dan agama. Namun, demokrasi sebegini adalah ancaman bagi PAS untuk meneruskan ideologinya kerana demokrasi juga pada masa yang sama boleh menyekat dan menghalang penguasaan dan pemerintahan 'theologikal' Islam. Bagi golongan yang lebih bersifat sosialis seperti DAP, ' konsep demokrasi yang sejati tidak akan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh di dalam negara yang mengamalkan 'theology' yang bepaksikan satu-satu agama yang ditentukan. Sebuah negara yang demokrasi penuh harus tiada label agama tertentu. Apabila adanya satu agama dipilih sebagai asas pembentukan kuasa dan keutamaan berbanding agama lain, maka belum wujud makna demorasi yang sebenar sepertimana yang dilaung-laungkan pakatan mereka. Kesimpulannya, DAP di dalam hati mereka tidak akan senang dengan usaha keras PAS dengan konsep politik 'theologikal' nya itu.

DAP nampak jelas lebih menyenangi PKR berbanding PAS. DAP dan PKR berdua boleh menjadi pasangan yang mesra dan sefahaman oleh kerana komposisi kaum yang majmuk di dalamnya. PKR adalah lebih global dan secocok dengan keadaan pelbagai kaum dan agama di Malaysia berbanding dengan PAS yang nyata dominan memfokuskan Islam walaupun mereka giat mempromosikan PAS kepada bukan Melayu.PAS cuba meyakinkan orang-orang bukan Islam di tempat kempen mereka bahawa konsep Islam yang dibawa mereka tidak sama dengan konsep Islam dibawa UMNO.

Persoalan agama akan tetap sensitif dan rumit diperkatakan kerana masing-masing mempunyai kepercayaan dan kebenaran sendiri. Sukar untuk menerima agama selain agama kita, begitulah realitinya. Di dalam konteks Pakatan Rakyat, setiap kali PAS keras mengatakan agama Islam mesti menguasai kerajaan dan negara tidak kira siapa pun yang memerintah, seperti mana kata-kata Hj. Hadi Awang di petik dari Buletin Utama bertarikh 30 August 2008 "Tidak kisahlah siapa pun yang memerintah Malaysia, PAS atau PKR, agama Islam mesti menguasai Malaysia", keserasian PAS dan DAP sebenarnya adalah amat rapuh dan hipokrit.

Habis patah hati dan punah impian DAP atau PKR untuk meletakkan calon-calon bukan Islam untuk sama merasa peluang untuk menduduki teraju utama negara atas makna sebuah demokrasi. Dimanakah demokrasi sebenar jika sedemikian rupa ? Perkara ini memang rumit dibicarakan. Orang-orang bukan Islam di dalam DAP dan PKR boleh mempersoalkan "Kita mahukan Malaysia baru; 'Malaysian Malaysia'. Kenapa mesti negara Islamik ? Kenapa mesti satu agama tertentu diutamakan dalam sebuah negara ? Kenapa tidak semua agama diletak sama paras dan kerajaan 'Malaysian Malaysia' tidak mengira kaum dan agama dilaksanakan ?

Kemudian, apakah pula reaksi PAS dan golongan beragama Islam di dalam Pakatan Rakyat di untuk mempertahankan dan menyokong idea mereka. Adakah kerana Islam agama rasmi negara seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan ? Tetapi bukankah mereka sendiri mempertikaikan status Islam sebagai agama 'rasmi', sebaliknya Islam agama 'utama' negara. Istilah agama rasmi adalah agenda UMNO kata mereka. Adakah kerana golongan beragama Islam lebih ramai mengatasi jumlah golongan bukan beragama Islam ? Tetapi, populasi bukan Islam bukanlah minoriti yang sedikit pada zaman ini dan bukankah membuat keputusan berasaskan satu-satu kaum atau agama itu tidak demokratik
langsung ?

Maka, sebab itulah PKR lebih relevan berbanding PAS. PKR tidak didasari satu-satu agama dan ia dilihat sebagai benar-benar wakil rakyat Malysia yang 'universal' kerana tiada label Islam, Kristian, Budha atau Hindhu di dalam PKR, sebaliknya imej umum PAS adalah Melayu dan Islam. Tidak menghairankan jika dibuat 'poll' atau undian, ramai golongan bukan Islam akan mengundi dan meraikan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal PM baru Malaysia berbanding mana-mana calon dari PAS.

Tuesday, September 2, 2008

Pengajaran Permatang Pauh

Kita semua telah mengetahui banyak perkara tentang pilihanraya kecil permatang pauh. Pemenangnya DSAI dengan memperolehi peningkatan jumlah majoriti undi. Bagi mereka yang tinggal di permatang pauh dan ahli-ahli parti yang berkempen di sana, kita harus akur dan mengakui bahawa kempen dan strategi setiap parti tertentu amat menjengkelkan. Setiap kesilapan dan kelemahan lawan menjadi bualan dan bahan terjahan. Setiap skandal samada benar atau tidak akan dijadikan tajuk utama. Segala bentuk perang "psywar" digunakan ke tahap yang membingungkan kita. Adat dan agam diketepikan asalkan tujuan kempen tercapai.
Apakah kesudahan dari hasil semua kempen yang dijalankan khasnya oleh parti pemerintah? Tepuk dada tanya selera. Nampaknya rakyat semakin marah, muak dan benci dengan kita. Rakyat sudah bosan dengan cara kempen yang melampau. Semakin kita memburukkan serta menhinsa pihak lawan, maka semakin benci rakyat kepada kita. Rakyat kini sudah bijak. Apa yang mereka mahu ialah pelan tindakan kita untuk mengatasi apa jua maslah rakyat. Mereka mahu mendengar penyelesaian kita terhadap setiap permasalahan tersebut. Mereka hendak melihat kewibawaan kita sebagai seorang pemimpin, pentadbir dan pengurus yang cekap. Beritahu rakyat akan kemampuan kita untuk memulihkan keadaan ekonomi kita. Bangkitkan semangat patriotik dan kecintaan kepada negara. Tiupkan semangat perpaduan, kerjasama, toleransi dan kasih sayang sesama insan. Jangan kita merendah-rendahkan lawan kita dengan menceritakan perkara-perkara yang boleh mengaibkan mereka. Jangan kita pandai bercakap tentang agama tetapi dalam pada masa yang sama kita melanggar segala hukum agama yang ada hanya semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. Percayalah, semakin kita mengihan, mencerca, memburukkan lawan kita, semakin bencil;ah rakyat kepada kita. Oihak lawan pasti akan beroleh keuntungan dari perbuatan hina kita. maka, saya merayu agar kita menggunakan kempen yang bijak serta lebih bertanggungjawab. Contohilah cara-cara kempen pemimpin agung atau setidak-tidaknya contohilah cara kempen Barrack Obama. Walaupu beliau berkulit hitam, tetapi dengan penjelasan beliau tentang corak dan cara pentadbirannya kelak telah berjaya meraih sokongan rakyat Amerika dari pelbagai peringkat dan warna kulit. Strategi nkempen melalui beberapa siri iklan yang komprehensif yang diselitkan dengan penerangan agenda politiknya amat berkesan sekali.
Semoga pengalaman di Permatang Pauh mendewasakan kita. Insaflah dan ingat, rakyat kini semakin bijak. Politik perkauman bukan agenda utama lagi. Belajarlah dari kesilapan. Menghina, mengeji, memfitnah dan rasuah bukan syariat Islam. Kembalilah ke rumah Allah. Minta petunjuk. Kumpulkan semua ahli fikir yang tersohor, bincang, bincang dan bincang. cari jalan yang terbaik. Jika Tun Mahathir berjaya mengeluarkan kita dari kancah kegawatan ekonomi, saya pasti beliau mungkin dapat membantu kita untuk menghadapi cabaran lawan yang sangat hebat ini. Insyaallah...