Manusia mudah berubah. Politik juga mudah berubah. Dahulunya, PAS bersikap amat keras dengan dasar 'Negara Islam' nya yang mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih Islamik. UMNO dilabel sebagai munafik, kafir dan dimusuhi. Sekian lama PAS berjuang dengan caranya tersendiri dan memandang sepi DAP, sehinggalah wujudnya PKR yang diibaratkan sebagai perantara dan penyatu di antara mereka.
Di antara parti politik yang wujud di Malaysia, PAS adalah yang paling jelas dengan pegangan 'theologikal' nya iaitu perjuangan pemerintahan kerajaan berasaskan dan berkonsepkan agama; Islam. Sudah tentu, soal siapa yang harus mengepalai negara tidak perlu dipersoal lagi ? Kita sudah tahu jawapannya. PAS pasti mahukan Islam menguasai pemerintahan dan pastinya bakal perdana menteri yang paling layak bagi PAS adalah salah seorang dari alim ulama' mereka. Berkenaan kerajaan dan negara yang berasaskan agama, sudah pasti PAS tiada kompromi meletakkan Islam sebagai agama pendasar utama negara. Walaupun DAP, rakan pakatannya lantang bersuara dengan konsep 'Malaysian Malaysia' nya. Perjuangan demokrasi tulen DAP ini berkemungkinan besar tidak akan mampu melangkah jauh kerana batasannya sudah ditetapkan awal oleh rakan juangnya sendiri, PAS iaitu Malaysia mesti diterajui oleh pemimpin Islam dan Islam tetap dasar utama kerajaannya.
Bagi DAP, demokrasi tulen adalah sepertimana maksudnya yang sebenar; hak yang sama rata di dalam pendidikan, ekonomi dan politik tidak mengira jantina, kaum dan agama. Namun, demokrasi sebegini adalah ancaman bagi PAS untuk meneruskan ideologinya kerana demokrasi juga pada masa yang sama boleh menyekat dan menghalang penguasaan dan pemerintahan 'theologikal' Islam. Bagi golongan yang lebih bersifat sosialis seperti DAP, ' konsep demokrasi yang sejati tidak akan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh di dalam negara yang mengamalkan 'theology' yang bepaksikan satu-satu agama yang ditentukan. Sebuah negara yang demokrasi penuh harus tiada label agama tertentu. Apabila adanya satu agama dipilih sebagai asas pembentukan kuasa dan keutamaan berbanding agama lain, maka belum wujud makna demorasi yang sebenar sepertimana yang dilaung-laungkan pakatan mereka. Kesimpulannya, DAP di dalam hati mereka tidak akan senang dengan usaha keras PAS dengan konsep politik 'theologikal' nya itu.
DAP nampak jelas lebih menyenangi PKR berbanding PAS. DAP dan PKR berdua boleh menjadi pasangan yang mesra dan sefahaman oleh kerana komposisi kaum yang majmuk di dalamnya. PKR adalah lebih global dan secocok dengan keadaan pelbagai kaum dan agama di Malaysia berbanding dengan PAS yang nyata dominan memfokuskan Islam walaupun mereka giat mempromosikan PAS kepada bukan Melayu.PAS cuba meyakinkan orang-orang bukan Islam di tempat kempen mereka bahawa konsep Islam yang dibawa mereka tidak sama dengan konsep Islam dibawa UMNO.
Persoalan agama akan tetap sensitif dan rumit diperkatakan kerana masing-masing mempunyai kepercayaan dan kebenaran sendiri. Sukar untuk menerima agama selain agama kita, begitulah realitinya. Di dalam konteks Pakatan Rakyat, setiap kali PAS keras mengatakan agama Islam mesti menguasai kerajaan dan negara tidak kira siapa pun yang memerintah, seperti mana kata-kata Hj. Hadi Awang di petik dari Buletin Utama bertarikh 30 August 2008 "Tidak kisahlah siapa pun yang memerintah Malaysia, PAS atau PKR, agama Islam mesti menguasai Malaysia", keserasian PAS dan DAP sebenarnya adalah amat rapuh dan hipokrit.
Habis patah hati dan punah impian DAP atau PKR untuk meletakkan calon-calon bukan Islam untuk sama merasa peluang untuk menduduki teraju utama negara atas makna sebuah demokrasi. Dimanakah demokrasi sebenar jika sedemikian rupa ? Perkara ini memang rumit dibicarakan. Orang-orang bukan Islam di dalam DAP dan PKR boleh mempersoalkan "Kita mahukan Malaysia baru; 'Malaysian Malaysia'. Kenapa mesti negara Islamik ? Kenapa mesti satu agama tertentu diutamakan dalam sebuah negara ? Kenapa tidak semua agama diletak sama paras dan kerajaan 'Malaysian Malaysia' tidak mengira kaum dan agama dilaksanakan ?
Kemudian, apakah pula reaksi PAS dan golongan beragama Islam di dalam Pakatan Rakyat di untuk mempertahankan dan menyokong idea mereka. Adakah kerana Islam agama rasmi negara seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan ? Tetapi bukankah mereka sendiri mempertikaikan status Islam sebagai agama 'rasmi', sebaliknya Islam agama 'utama' negara. Istilah agama rasmi adalah agenda UMNO kata mereka. Adakah kerana golongan beragama Islam lebih ramai mengatasi jumlah golongan bukan beragama Islam ? Tetapi, populasi bukan Islam bukanlah minoriti yang sedikit pada zaman ini dan bukankah membuat keputusan berasaskan satu-satu kaum atau agama itu tidak demokratik
langsung ?
Maka, sebab itulah PKR lebih relevan berbanding PAS. PKR tidak didasari satu-satu agama dan ia dilihat sebagai benar-benar wakil rakyat Malysia yang 'universal' kerana tiada label Islam, Kristian, Budha atau Hindhu di dalam PKR, sebaliknya imej umum PAS adalah Melayu dan Islam. Tidak menghairankan jika dibuat 'poll' atau undian, ramai golongan bukan Islam akan mengundi dan meraikan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal PM baru Malaysia berbanding mana-mana calon dari PAS.
Sunday, September 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment